Pengarah IKWAS didakwa rasuah berhubung tender baja bio

Tender baja bio: Pengarah IKWAS didakwa rasuah

SHAHRULZAMAN Jaafar (kanan) mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua penolong setiausaha kanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada beberapa syarikat, tahun lalu.

Shahrulzaman Jaafar, 43, yang kini memegang jawatan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Wilayah Selatan (IKWAS) meminta dibicarakan terhadap selepas semua tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika kejadian merupakan pegawai di kementerian itu didakwa secara rasuah meminta suapan iaitu wang berjumlah RM2 juta daripada Wan Nor Izham Wan Nashar.

Ia sebagai upah kerana membantu lelaki itu mendapatkan tender membekal dan menghantar baja bio dengan mikrob tempatan bermanfaat di bawah Skim Insentif Pengeluaran kepada tiga syarikat, Endona Corporation Sdn Bhd, Qamari Consultancy Sdn. Bhd. dan Borneo Natura Sdn Bhd, keseluruhannya berjumlah RM118,165,171.65.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah kedai makan di Jalan Berjasa, di sini, sekitar bulan Februari tahun lalu.

Pertuduhan kedua, Shahrulzaman didakwa dengan sendirinya secara rasuah telah menerima suapan berjumlah RM85,000 daripada Wan Nor Izham melalui sebuah akaun bank yang didaftarkan dengan nama SZA Niaga sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan tender kepada tiga syarikat sama di Maybank cawangan Taman Setiawangsa di sini pukul 10 pagi pada 30 Julai 2020.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Shahrulzaman didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM40,000 daripada Hazrul Hisyam Hassan sebagai upah bagi dirinya kerana membantu lelaki itu mendapatkan tender sama kepada syarikat KIIK Resources Sdn. Bhd. dengan nilai keseluruhan berjumlah RM37,478,572.55.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah hotel di Jalan Klang Lama pada 12 tengah hari, 17 Ogos tahun lalu.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.

Ujarnya, pihak pendakwaan juga memohon beberapa syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai dan tidak mengganggu serta berkomunikasi dengan saksi kes.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili pegum Azizul Shariman memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan. Tarikh 24 Februari ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.