Penganggur dipercayai tokan dadah ditangkap polis - Utusan Malaysia

Penganggur dipercayai tokan dadah ditangkap polis

DADAH dan barangan yang dirampas dalam serbuan dalam satu operasi di Felda Lui Timur, Jempol awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang penganggur dipercayai tokan dadah ditangkap polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dalam satu operasi di Felda Lui Timur, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun itu ditangkap di sebuah garaj motosikal di salah sebuah rumah di Felda berkenaan sekitar pukul 01.52 pagi.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan, polis berjaya merampas 11 peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan-ketulan disyaki dadah berbahaya jenis heroin yang dianggarkan seberat 66.4 gram dengan nilai pasaran sebanyak RM 2,325.

Turut dirampas empat peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan-ketulan jernih disyaki dadah berbahaya jenis syabu yang dianggarkan seberat 14.4 gram bernilai RM 2,160.

“Selain itu, polis turut merampas satu beg galas dan satu alat penimbang digital serta menyita sebuah motosikal jenis Yamaha RX-Z yang dipercayai digunakan oleh suspek.

“Ujian saringan awal air kencing suspek yang mempunyai dua rekod kesalahan dadah iaitu di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 itu juga didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Chang Hook berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Polis akan sentiasa berusaha untuk membanteras kegiatan dadah di daerah ini dan saya amat mengalu-alukan info dari orang awam.

“Orang awam boleh menyalurkan kepada mana-mana balai polis yang berdekatan atau ke Bahagian Sisatan Jenayah Narkotik Daerah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya