Pembalakan kawasan hutan simpan kekal Pahang terkawal - Utusan Malaysia

Pembalakan kawasan hutan simpan kekal Pahang terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan kekal (HSK) di negeri ini adalah terkawal dan tidak melebihi catuan tebangan tahunan (CTT) yang ditetapkan Majlis Tanah Negara (MTN). 

Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar dalam kenyataannya berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), CTT ditetapkan ialah 13,687 hektar, namun, untuk 2019, luas kawasan yang dibalak kurang daripada jumlah itu iaitu 10,313 hektar.

“Ini membuktikan, daripada aspek penjagaan hutan di Pahang, ia masih terpelihara sunggupuh pun tidak dinafikan tentang gejala penerokaan haram yang sentiasa dipantau dan diambil tindakan tegas mengatasinya,” katanya kenyataan itu di sini semalam. 

Menurut kenyataan itu, keluasan HSK di negeri ini ialah kira-kira 1.55 juta hektar dan angka itu kekal stabil sungguhpun setiap tahun, sumber hutan masih menjadi punca pendapatan hasil negeri.

“Kestabilan dicapai kerana kerajaan negeri mempraktikkan pengurusan hutan secara berkekalan yang menerusinya, kawalan hasil hutan dilaksanakan bagi menjamin agar kawasan hutan tetap terpelihara.

“Daripada 1.55 juta hektar HSK tersebut, 999,158 hektar atau 64.43 peratus boleh dibalak manakala bakinya, 551,528 hektar atau 35.57 peratus ialah hutan tidak boleh dijalankan pembalakan atas sebab-sebab termasuk sebagai kawasan tadahan air yang sangat sensitif,” kata kenyataan itu. 

Jelas kenyataan berkenaan, di kawasan HSK yang boleh dibalak itupun, ia sentiasa diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC). 

Sehubungan itu kata kenyataan tersebut, dakwaan aktiviti penerokaan hutan dan tanah yang berleluasa dan tidak terkawal menjadi punca kejadian banjir di negeri ini adalah tidak benar sama sekali. 

“Hujan lebat luar biasa dan turun hampir serentak di seluruh Pahang punca berlakunya banjir di negeri ini, perkara ini disahkan menerusi laporan awal oleh jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Metereologi dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

“Rekod dua tempoh masa pada bulan ini (setakat 10 Januari) dan Disember 2020 menunjukkan Maran menerima purata hujan masing-masing 253 milimeter (mm) dan 55 mm; Pekan (238 mm dan 136 mm); Kuantan (234 mm dan 144 mm) ; Rompin (220 mm dan 137 mm); Jerantut (180 mm dan 67 mm) dan Raub, masing-masing 173 mm dan 92 mm.

“Temerloh pula masing-masing 163 mm dan 82 mm; Lipis (143 mm dan 53 mm); Cameron Highlands (143 mm dan 83 mm); Bentong (109 mm dan 79 mm). dan Bera, masing-masing 60 mm dan 79 mm,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya