Pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah 21 pertuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah 21 pertuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pegawai kanan Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah terhadap 21 pertuduhan melibatkan rasuah sejak 2018 hingga Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Zulkifly Zapar, 47, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Kamaruddin Kamsun.

Terdahulu, pendakwaan terhadap tertuduh yang merupakan Timbalan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pencegahan Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Imigresen dijalankan di sebuah hospital swasta, di sini kerana tertuduh sedang menerima rawatan akibat darah tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan sebanyak RM1,500 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas satu kertas siasatan yang dijalankan agensi itu di Taman Setia Tropika pada 8 Disember 2018 .

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua hingga ke-21, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a) B Akta SPRM kerana menerima suapan yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya antara 15 Julai 2018 hingga 4 Oktober 2020 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM55,000.

Suapan itu sebagai dorongan agar tertuduh melindungi syarikat Double Tree Vegetable Sdn. Bhd. dan Lian Hoe Huat Enterprise (M) Sdn. Bhd. untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana menggajikan warga asing tanpa permit yang sah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 24 Akta SPRM iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 beserta syarat iaitu tertuduh perlu hadir di pejabat SPRM setiap bulan bermula Februari ini.

Kamarudin kemudian menetapkan tarikh 24 Februari depan untuk sebutan semula kes bertempat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Sementara itu, tertuduh sebelum ini pernah didakwa di Shah Alam pada 22 Disember lalu atas pertuduhan itu yang juga dilakukan di sebuah hospital swasta ekoran tertuduh sedang menjalani rawatan darah tinggi dan sakit jantung. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.