Nilai rampasan ketika musim banjir cecah RM4.2 juta - Utusan Malaysia

Nilai rampasan ketika musim banjir cecah RM4.2 juta

AZHARI Nusi (dua kanan) menunjukkan kenderaan yang diguna oleh penyeludup di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini hari ini.- UTUSAN/ YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM4.2 juta dalam tempoh 29 hari penugasan Op Benteng Covid-19 dengan mengawal sempadan Malaysia-Thailand, di sini bermula 16 Disember lalu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, kejayaan itu membuktikan ketegasan pihaknya melaksanakan penugasan, biar pun berdepan ujian bencana banjir.

“Sepanjang tempoh penugasan, sebanyak 77 kes penyeludupan direkodkan melibatkan haiwan ternakan, kontraban, kosmetik, ayam sejuk beku, pakaian, barangan bersubsidi, ketum dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Tangkapan berkait dengan dadah pula melibatkan seramai 67 individu,” katanya kepada pemberita pada dalam sidang akhbar di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol di sini hari ini.

Azhari juga memberitahu, PGA bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pangkalan Kubor berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak petrol dalam dua serbuan berasingan, di sini semalam.

Katanya, dalam serbuan pertama pada pukul 5 petang, seorang suspek berusia 35 tahun dengan empat rekod jenayah lampau berkait dadah berjaya ditahan ketika membawa 625 liter petrol dalam kenderaan yang dinaikinya.

“Selang 15 minit kemudian, pasukan kami berjaya menahan sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang di Kampung Kubang Rambutan yang didapati membawa muatan 625 liter lagi minyak petrol.

“Sebelum itu, suspek cuba memecut laju namun kenderaannya hilang kawalan lalu melanggar pagar rumah penduduk. Suspek yang cedera dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait Seksyen 26 A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya