Minyak masak 5kg memang tiada subsidi - Utusan Malaysia

Minyak masak 5kg memang tiada subsidi

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kedudukan harga semasa dan bekalan minyak masak dalam botol bersaiz lima kilogram (5 kg) tidak termasuk dalam Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

Sebaliknya sejak 2016, kerajaan hanya memberikan subsidi kepada produk itu dalam bentuk bungkusan polibeg satu kilogram sahaja dengan harga mampu milik ditetapkan iaitu RM2.50.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memantau agar tiada peniaga cuba membuat pencatutan.

“Minyak masak merupakan barang kawalan kerajaan sejak 2007 tetapi setelah pelaksanaan COSS, hanya bungkusan seberat satu kilogram dikawal harga,” katanya melalui kenyataan, semalam.

Beliau memaklumkan hasil tinjauannya sendiri di Sepang, Selangor kelmarin melibatkan Kompleks Kipp Mall di Kota Warisan dan Giant Distribution Centre, Bandar Baru Salak Tinggi.

Lawatan kerja itu turut disertai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Penguat Kuasa, Azman Adam.

Walaupun tidak merujuk pihak tertentu, kenyataan Alexander itu jelas menjawab isu dibangkit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melalui hantaran akaun media sosial.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengulas keluhan ramai netizen mengenai kenaikan harga minyak masak 5 kg sehingga melebihi RM28 yang membebankan golongan miskin.

“Pada masa ini, sebanyak 60,000 tan minyak masak yang bersubsidi disediakan setiap bulan di seluruh negara dan jumlah itu adalah mencukupi bagi kegunaan rakyat,” tegas Alexander.

Malahan, ujar beliau, kementeriannya komited memastikan keberadaan di setiap rantaian bekalan dengan enam notis sudah dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011.

Justeru kata beliau, peniaga yang didapati cuba mengambil kesempatan dengan sengaja menaikkan harga produk minyak masak boleh diambil tindakan tegas di bawah akta tersebut.

Kementerian itu jelasnya, juga diberi tanggungjawab penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit sejak 13 Mei tahun lalu menerusi dua kaedah tindakan.

Ia meliputi Pemeriksaan Khas (Harian) dan Operasi Bersepadu bersama agensi terlibat dalam Task Force Operasi Pematuhan PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan negeri dan daerah.

“Hasil pemeriksaan semalam mendapati dua premis ini mematuhi SOP malah sepanjang PKP dikuatkuasakan sehingga 16 Januari, sejumlah 321,850 premis lain telah diperiksa,” katanya.

Daripada jumlah itu kata Alexander, 477 premis menerima amaran untuk penambahbaikan segera, manakala 7,355 premis diberikan nasihat bagi pengekalan pematuhan secara konsisten.

Beliau menambah, kementerian itu juga menggariskan gerak kerja penguatkuasaan akta itu dengan menetapkan kompaun RM1,000 jika berlaku ketidakpatuhan terhadap SOP ketika PKP.

Beliau berharap semua pihak sama ada pemain industri dan pengguna memainkan peranan mematuhi SOP bagi elak jangkitan wabak Covid-19 serta melancarkan sektor aktiviti ekonomi.

Ini katanya, dapat memberi keyakinan kepada rakyat dan penyeliaan berterusan memastikan tiada ambil kesempatan memanipulasi harga dan bekalan dalam tempoh sukar pada ketika ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya