Malaysia gembira GCC, Mesir meterai Deklarasi Al Ula - Utusan Malaysia

Malaysia gembira GCC, Mesir meterai Deklarasi Al Ula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia hari ini menyambut baik pemeteraian Deklarasi Al Ula oleh semua enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan rakan dialog, Mesir kelmarin.

Kementerian Luar menerusi kenyataan di sini memaklumkan bahawa, persetujuan dicapai di bandar warisan Al Ula, Arab Saudi itu membuktikan semua negara terlibat kembali bersatu.

“Malaysia menyifatkan perjanjian solidariti serta kestabilan ini sebagai batu loncatan signifikan dan satu pencapaian diplomatik terbesar dalam sejarah,” katanya.

Malah, Putrajaya menghargai kesungguhan semua pihak menyelesaikan segala isu dan beri komitmen sehingga membawa kepada deklarasi itu pada Sidang Kemuncak GCC ke-41 di Al Ula.

Semalam, media antarabangsa melaporkan persidangan itu mengesahkan perdamaian Arab Saudi dengan jirannya, Qatar, sekali gus mengakhiri ketegangan diplomatik sejak Jun 2017.

Ia turut menyaksikan kerajaan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir kembali bersetuju untuk memulihkan hubungan diplomatik yang diputuskan lebih tiga tahun lalu dengan Qatar.

Mereka pada masa itu, mendakwa pemerintah Doha diterajui Emir Sheikh Tamim Hamad Al-Thani kononnya menyokong aktiviti pengganas dan mencampuri urusan dalaman negara GCC.

Pemulihan ini juga menyaksikan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman membawa Sheikh Tamin dengan memandu kereta mewah Lexus model LX570SS bersiar sekitar Al Ula.

Kota warisan terkenal kira-kira 333 kilometer dari utara tanah suci Madinah ini menjadi tumpuan dunia kerana sidang GCC yang diasas pada 1981 itu ada pengaruh besar politik Asia Barat.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia berpegang pendirian kekal erat hubungan dengan semua negara Teluk dan wilayah Arab meliputi Timur Tengah termasuk Afrika Utara.

“Sebagai rakan konstruktif, Putrajaya akan meneruskan sokongan inisiatif perdamaian yang membawa kestabilan, kesatuan dan kemakmuran di rantau berkenaan,” kata kenyataan itu lagi.

Peranan GCC yang turut disertai Oman, lebih kepada blok ekonomi berbanding Liga Arab ditubuhkan pada 1945 meliputi 22 negara Timur Tengah menyerupai organisasi siasah dan sosial.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya