Lelaki pukul pembantu pam stesen minyak, ditangkap

Lelaki pukul pembantu pam stesen minyak ditangkap

TANGKAP layar video daripada CCTV yang tular kejadian seorang lelaki memukul seorang pembantu sebuah stesen minyak di Taman Sri Cempedak Kuala Klawang dekat sini, 19 Disember lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes mencederakan seorang pembantu sebuah stesen minyak di Taman Sri Cempedak Kuala Klawang dekat sini, 19 Disember lalu, dengan rakaman video kejadian tersebut turut tular sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, suspek berjaya ditangkap kira-kira pukul 4.30 petang tadi di Kuala Klawang.

Menurutnya, permohonan reman membabitkan suspek berusia 39 tahun yang mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan satu kes jenayah itu akan dilakukan esok.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut yang berdurasi 30 saat itu memaparkan mangsa dipukul oleh suspek menggunakan topi kaledar.

Sementara itu, menurut Maslan, mangsa seorang lelaki berusia 20 tahun telah membuat laporan polis kira-kira dua jam selepas kejadian yang berlaku sekitar pukul 4.30 petang itu.

“Berdasarkan siasatan, mangsa sedang bekerja di stesen minyak berkenaan dan didatangi seorang lelaki menunggang sebuah motosikal untuk mengisi minyak. Disebabkan juruwang tiada di dalam kaunter mangsa meminta suspek untuk menunggu kerana mangsa perlu mengaktifkan pam sebelum mengisi minyak.

“Bagaimanapun, suspek tidak menerima alasan berkenaan dan dalam masa yang sama memarahi mangsa kerana mangsa meletak pam minyak di dalam motosikalnya,” katanya.

Maslan berkata, sebaik juruwang tiba di kaunter, mangsa terus mengisi minyak.

Menurutnya, semasa mengisi minyak, terdapat sedikit minyak telah tertumpah dan suspek telah memarahi dan membaling duit kepada mangsa.

“Semasa mangsa sedang mengutip duit, mangsa mengeluh dan terus beredar dari situ untuk berehat. Semasa hendak berehat tiba-tiba suspek menghampiri mangsa dan terus memukul mangsa dengan topi keledar miliknya. 

“Pada masa yang sama, suspek memarahi dan memaki hamun mangsa. Mangsa tidak melawan susulan berasa pening selepas dipukul dan ditampar di bahagian muka, terdapat kesan bengkak di dagu sebelah kiri mangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.