KPJ Johor bantu ringankan beban mangsa banjir di Kota Tinggi

KPJ Johor bantu mangsa banjir di Kota Tinggi

MOHD. Azhar Abdullah (dua dari kiri) menyampaikan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang terjejas di Kota Tinggi, Johor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ekoran bencana banjir yang menjejaskan kehidupan ribuan penduduk negeri ini, Hospital Pakar KPJ Johor terpanggil untuk menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban individu memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd. Azhar Abdullah berkata, sumbangan yang diberikan mereka merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya kepada masyarakat.

Jelasnya, sumbangan itu hasil daripada tabung kebajikan doktor-doktor pakar KPJ Johor akan disampaikan kepada semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Kota Tinggi ketika ini.

“Antara yang disumbangkan termasuklah lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, makanan harian, ubat-ubatan dan alat perlindungan diri (PPE).

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa yang ditempatkan di PPS akibat banjir di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Azhar mengetuai sekumpulan kakitangan hospital swasta berkenaan dalam mengagihkan sumbangan tersebut di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Tinggi, hari ini.

Setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 5,499 mangsa daripada 1,414 keluarga masih ditempatkan di 52 PPS yang dibuka akibat banjir di negeri ini dengan Kota Tinggi menjadi daerah paling teruk terjejas.

Sementara itu, Pegawai JKM Daerah Kota Tinggi, Wan Hamizah Wan Mohd. Zain memberitahu, pihaknya amat menghargai sumbangan yang diberikan kerana keperluan itu amat diperlukan masyarakat yang terjejas akibat banjir.

“Antara keperluan yang amat diperlukan termasuklah lampin pakai buang dan susu. Kini kita telah mempunyai bekalan ianya akan diagih kepada individu yang memerlukan.

“Saya turut mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil untuk menghulurkan sumbangan ketika keadaan mencabar waktu ini,” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh terus menghubungi bilik gerakan JKM Daerah Kota Tinggi di talian 07-8835536. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya