TEMERLOH: Golongan kontraktor khususnya G1 mengeluh kerana harga besi mengalami kenaikan di luar jangkaan iaitu kira-kira 30 peratus daripada RM2,200 kepada RM3,000 satu tan.
Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) yang juga Pengerusi G1 Malaysia, Abd. Gapar Lambak berkata, ekoran kenaikan itu, dijangka antara 60 peratus hingga 70 peratus projek pembinaan akan terbengkalai jika masalah kenaikan harga bahan binaan dibiarkan berlarutan begitu sahaja.
Menurutnya, hal itu berlaku kerana harga tender ditawarkan kontraktor tidak lagi relevan dengan harga bahan-bahan binaan semasa.
“Kenaikan harga besi yang tinggi akan merencatkan kemajuan kerja di tapak projek yang sedang dalam pembinaan. Ini akan menyebabkan banyak projek sakit dan terbengkalai.
“Bagi projek baharu pula, kontraktor mempunyai pilihan sama ada menerima atau menolak surat setuju terima daripada pihak pelanggan. Kerajaan digesa mengambil tindakan segera bagi mengekang kenaikan harga barang binaan yang berkemungkinan turut melibatkan bahan-bahan lain seperti simen dan batu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
PKMM Pahang dalam siri jelajah ke seluruh negeri ini bagi memberikan taklimat dan penerangan terutamanya kepada kontraktor G1 agar bersedia berdepan pertambahan syarat pembaharuan bermula 2021.
Abd. Gapar yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berkata, jika kenaikan harga barang binaan itu tidak dibendung segera, akan berlaku hakisan besar terhadap margin pendapatan kontraktor yang menyebabkan mereka mengalami masalah kewangan.
“Ia juga akan menyukarkan kontraktor keluar daripada kelembapan industri pembinaan akibat dari kesan Covid-19,” katanya.
Oleh itu katanya, PKMM meminta kerajaan supaya melaksanakan semula kaedah variation of price (VOP) yang dimansuhkan pada 2015.
“Kaedah ini dapat membantu kontraktor untuk menampung sebahagian daripada kos kerugian akibat kenaikan harga bahan-bahan binaan,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, pertambahan jumlah kontraktor G1 yang memiliki Sijil Taraf Bumiputera (STB) meningkat secara mendadak sejak ia dibuka semula pada September 2019 dan membimbangkan PKMM.
“Hanya kurang dari setahun, jumlah kontraktor G1 (STB) yang dahulunya hanya 22,000 kini menjangkau melebihi 36,000. PKMM meminta pembekuan segera dilaksanakan supaya lambakan kontraktor dapat dikawal,” katanya. – UTUSAN










