Konstabel, lans koperal terima suapan dijel, denda  - Utusan Malaysia

Konstabel, lans koperal terima suapan dijel, denda 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan daripada seorang lelaki  Thailand pada  2018.

Hakim Rozilah Salleh turut memerintahkan hukuman penjara selama dua bulan terhadap Shaiful Rizal Osman, 36,dan Muhammad Zuhair Mazlan, 28, sekiranya mereka  gagal membayar denda.

Rozilah dalam penghakimannya berkata, sebagai anggota polis, mereka ada akal untuk berfikir sama ada sesuatu arahan daripada pihak atasan itu menyalahi undang-undang atau tidak.

“Kamu tidak boleh mengikut arahan secara membuta-tuli. Arahan baik bolehlah diikut tetapi jika sebaliknya tidak perlu dan seharusnya kamu melaporkan jika ada seseorang yang meminta rasuah, bukan menyertai mereka sekali.

“Saya berharap hukuman yang dikenakan kepada kamu berdua akan membuat  kamu insaf,” katanya.

Terdahulu, mengikut pertuduhan pilihan, kedua-dua tertuduh yang bertugas di Balai Kampung Baru Subang, Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh didakwa menerima wang tunai  RM3,000 dengan tanpa balasan daripada Nordin Chebueraheng.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan di Balai Kampung Baru Subang, Bahagian Narkotik, IPD Sungai Buloh  antara pukul 3.40 hingga 4 pagi pada 24 Disember 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Amirul Jamaluddin dan Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff memohon agar mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana mereka hanya mengikut arahan pihak atasan.

Muhammad Amirul berkata, anak guamnya tidak pernah terlibat dalam perbincangan meminta suapan daripada Nordin sebaliknya hanya diarahkan oleh pegawai atasannya untuk mengambil dan menyimpan wang berkenaan.

“Sebagai pegawai bawahan, anak guam saya hanya mengikut arahan kerana takut dimarahi dan dikenakan tindakan oleh pegawai atasan. Saya memohon hukuman denda dan bon berkelakuan baik dikenakan terhadap anak guam,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal ke atas kedua-dua tertuduh kerana pertuduhan dikenakan melibatkan kepentingan awam. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.