Keuntungan CBP lepasi sasaran di sebalik Covid-19 - Utusan Malaysia

Keuntungan CBP lepasi sasaran di sebalik Covid-19

KAMARI Zaman Juhari (tiga dari kanan) bersama pengurusan dan kakitangan CBP pada majlis perasmian pembukaan cawangan bank itu di Seri Manjung hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Co-opbank Pertama (CBP) mencatatkan peningkatan 16.9 peratus keuntungan sebelum zakat dan cukai sepanjang tahun lalu berbanding tahun sebelumnya walaupun dalam keadaan ekonomi suram berikutan pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, peningkatan itu melebihi sasaran keuntungan RM86.2 juta yang ditetapkan bank koperasi itu bagi tahun kewangan berakhir 2020.

“Tahun 2020 mencatatkan rekod bagi kami kerana keuntungan sebelum zakat dan cukai itu adalah yang tertinggi melebihi sasaran yang pernah dicatatkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan cawangan bank itu di Seri Manjung di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd. Nor Abd Razak.

Kamari Zaman berkata, jumlah keuntungan itu sudah diaudit tetapi prestasi itu masih pada peringkat awal yang mana perlu melalui proses kelulusan di peringkat Lembaga Pengarah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan mesyuarat agung tahunan CBP.

Menurut beliau, kejayaan itu dicapai kerana pihaknya tidak melihat wabak Covid-19 daripada sudut yang sukar semata-mata tetapi melihatnya sebagai cabaran menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) .

“Menerusi strategi itu, kami masih boleh menembusi pasaran dan bertemu dengan pelanggan menggunakan pelbagai kaedah lebih terkini sama ada melalui internet dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, CBP juga memperoleh pendapatan hampir RM360 juta sepanjang tahun lalu iaitu peningkatan 12.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Aset kami seperti pinjaman, simpanan dan sebagainya juga meningkat dengan ketara iaitu berjumlah RM5.8 bilion pada Disember 2020, peningkatan 34.4 peratus berbanding RM4.3 billion pada tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar peningkatan itu disumbangkan oleh pembiayaan pelanggan, pelaburan sekuriti dan penempatan deposit dengan ketiga-tiganya menyumbang RM5.2 bilion atau 89.6 peratus daripada jumlah aset tersebut.

“Pembiayaan pelanggan pula berjumlah RM3.7 bilion dengan pembiayaan peribadi yang terbesar iaitu melebihi RM1 billion manakala gadaian Ar-Rahnu pula bernilai hampir RM200 juta,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini seramai 91,493 individu dan 723 koperasi menjadi ahli koperasi atau ahli anggota CBP.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, CBP baru dinobatkan sebagai Koperasi Terbaik Negara 2020 dengan menduduki tempat pertama daripada profil 100 koperasi terbaik di Malaysia, iaitu pencapaian tertinggi dicapai koperasi tersebut sejak ditubuhkan 71 tahun lalu.

Beliau berkata, pembukaan CBP di Seri Manjung adalah cawangan ke-27 bank itu di negara ini dan ketiga di Perak selepas Taiping dan Ipoh.

Pada majlis itu, CBP turut memberi sumbangan wang tunai kepada 50 pelajar daripada keluarga B40 daripada lima sekolah di daerah Manjung menerusi program Kembali Ke Sekolah.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya