Keputusan Ahmad Jazlan letak jawatan bersifat peribadi - Utusan Malaysia

Keputusan Ahmad Jazlan letak jawatan bersifat peribadi

MOHD. Salim Mohd. Sharif menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada salah seorang murid penerima Program Back to School 2021@KPLB Parlimen Jempol di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting, Jempol hari ini yang turut dihadiri oleh Dr. Nizar, (dua, dari kiri)-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Keputusan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) disifatkan sebagai satu keputusan peribadi Ahli Parlimen Machang itu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, kewajaran tindakan Ahmad Jazlan itu boleh dipersoal ketika negara terus dilanda pendemik Covid-19 serta musibah banjir di beberapa buah negeri ketika ini.

“Kalau Machang (Ahmad Jazlan) tarik diri daripada sokongan, masih ada 110 (kerusi), masih bertahan lagi. Dalam keadaan hari ini, kita jangan berfikir bahawa kita tarik diri dalam mempengerusikan syarikat milik kerajaan (GLC) dan sebagainya kerana bagi saya itu adalah keputusan peribadi.

“Dalam keadaan sekarang ni, lebih baik kesemua ahli Parlimen fokus kepada tugas dan tanggungjawab kerana amanah telah diberikan oleh rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Back to School 2021@KPLB Parlimen Jempol di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting, dekat sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Dr. Nizar Sudin.

Semalam, Ahmad Jazlan yang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, keputusannya menarik sokongan terhadap PN dibuat tanpa desakan mana-mana pihak dan tiada kepentingan peribadi, sebaliknya atas dasar memperjuangkan prinsip parti serta maruah Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Mohd. Salim berpandangan, keputusan untuk melaksanakan pilihan raya umum dalam masa terdekat adalah tidak sesuai malah bakal menimbulkan masalah kepada barisan hadapan untuk menjalankan tugas menjaga rakyat serta menjaga perjalanan pilihan raya tersebut.

“Saya melihat kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, bukan tak boleh buat pilihan raya buatlah, tetapi dalam keadaan yang lebih selamat dan rakyat nak pergi mengundi pun dalam keadaan yang lebih selesa.

“Buatlah pilihan raya akan datang tapi biarlah dalam keadaan selesa dan selamat untuk keluar mengundi,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 200 murid dan pelajar sekolah di Parlimen Jempol menerima sumbangan berbentuk buku dan peralatan sekolah bernilai RM70 bagi pelajar sekolah menengah dan RM50 bagi pelajar sekolah rendah yang disumbangkan oleh pihak YPM. -IUTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.