PUTRAJAYA: Tiada perasaan lain boleh digambarkan melainkan gembira dan terharu apabila pesakit yang dirawat serta dipantau setiap hari disahkan bebas Covid-19 seterusnya dibenarkan pulang ke rumah.
Itu detik paling bermakna bagi jururawat, Rus Hasimah Anuar, 32, yang ditugaskan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Apatah lagi katanya, pesakit-pesakit memberikan kerjasama penuh kepada petugas kesihatan dan pasukan barisan hadapan lain yang mengendalikan pusat kuarantin itu.
Setiap kali ada pesakit baharu dimasukkan di sini atau dibenarkan keluar kerana telah pulih, pesakit-pesakit lain memberikan sorakan sebagai tanda sokongan.
“Kebanyakan pesakit yang lebih awal ditempatkan di sini membantu pula petugas-petugas membuat kerja jika ada pesakit baharu yang masuk. Mereka membantu mengagihkan makanan, memberikan selimut dan cadar serta menunjukkan nombor katil dan sebagainya.
“Walaupun ada antara mereka dalam kalangan profesional seperti doktor, polis, bomba, jurutera, guru malah pemandu lori atau pekerja kilang sekalipun, mereka boleh bergaul tanpa mengira pangkat atau kaum dan saling menghormati di pusat kuarantin ini.
“Sebagai contoh, pengecas telefon bimbit tidak pernah hilang walaupun ia hanya sekecil-kecil barang atas dasar sikap kejujuran masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Rus Hasimah yang sebelum ini pernah bertugas di Hospital Sungai Buloh menjaga pesakit Covid-19 memberitahu, beliau menggunakan bahasa yang mudah didekati ketika mengendalikan pesakit kerana kebanyakan mereka mengalami trauma apabila mendapat tahu positif virus itu.
Kata jururawat masyarakat di Hospital Kajang itu, adalah menjadi tanggungjawab jururawat mendengar aduan pesakit, mendekati mereka apabila perlu selain memberikan kata-kata semangat supaya tidak lemah untuk melawan sakit.
Menurutnya, sememangnya bukan mudah mengendalikan sehingga 800 pesakit setiap hari, bukan hanya menjalankan rawatan tetapi memberikan sokongan moral jika mereka kemurungan akibat penyakit yang boleh membawa maut itu.
“Ada yang mengadu sampai menjerit meraung apabila mendapat keputusan positif Covid-19 selain ada yang menghadapi masalah kewangan kerana tidak boleh lagi berniaga dan hanya bergantung kepada punca pendapatan harian. Saya cuba pujuk mereka dan memberikan kata-kata positif agar mereka tidak berasa tersisih.
“Pesakit lelaki ramai. Mereka suka bersorak apabila arahan diberikan. Saya menggunakan pendekatan sebagai kawan kerana lelaki tidak boleh mengarah dan marah-marah. Saya guna bahasa santai agar mereka faham dan jelas apabila arahan diberikan,” katanya.
Ibu kepada empat orang anak itu memberitahu, dia tidak pernah rasa patah semangat untuk terus berkhidmat sebagai frontliners walaupun terpaksa meninggalkan keluarga demi membantu negara menangani pandemik itu.
Apatah lagi, kata isteri kepada Che Ku Mohd. Yusuf Che Ku Endut yang juga petugas barisan hadapan sebagai Pegawai Penjara Di Kompleks Penjara Kajang, khidmat mereka dihargai pesakit yang mendoakan serta memberikan kata-kata semangat dalam melaksanakan tugas.
“Ada pesakit yang membuat lukisan sebagai tanda penghargaan dan kenangan, ada yang usik-usik nakal.
“Walaupun pada mulanya pesakit bersikap negatif kerana bimbang dan risau tinggal di pusat kuarantin, apabila masuk hari kedua mereka semakin positif menerima hakikat kerana ada ramai kawan pelbagai bangsa dan agama,” katanya.
Rus Hasimah pada masa sama merayu orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan duduk di rumah atau anda akan ‘check in’ di hospital sekiranya dijangkiti Covid-19.
Kepada semua petugas kesihatan dan anggota keselamatan lain, Rus Hasimah menitipkan pesanan supaya tidak bersedih dan mengalah kerana mereka semua adalah barisan hadapan yang membantu negara menangani wabak itu.
“Pengurusan PKRC MAEPS 2.0 diketuai Pengarah, Dr. Shahabudin Ibrahim berjaya menguruskan pusat kuarantin ini dengan baik agar berjalan dengan lancar,” katanya. – UTUSAN










