Jabatan Perikanan sedia lapor salah laku kepada polis, SPRM - Utusan Malaysia

Jabatan Perikanan sedia lapor salah laku kepada polis, SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan Malaysia mengalu-alukan sebarang laporan berhubung isu salah laku kakitangan agensi itu yang menyalahi undang-undang atau tidak berintegriti.

Jabatan itu menambah, sebarang bukti yang ada boleh diserahkan terus kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan susulan.

“Pihak jabatan juga akan sedia memberi sokongan penuh terhadap sebarang proses siasatan yang perlu dijalankan oleh dua agensi terbabit,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Ia sebagai merujuk memorandum yang diserahkan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos kepada Ketua Pengarah Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramly.

Pemimpin UMNO Selangor itu turut membakar kerang sebagai gimik di pekarangan jabatan tersebut kerana geram dengan tindakan Geng Rotor mencuri benih kerang di kawasannya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan bahawa pihak Jabatan Perikanan Selangor telah menjalankan aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras kumpulan penjenayah tersebut.

“Ia dilakukan pada 17 Disember tahun lalu Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam dibantu Cawangan Perlindungan Sumber Pelabuhan Klang, Jabatan Perikanan Selangor,” katanya.

Operasi itu berjaya merampas 10 guni anak kerang di dalam tempat simpanan barang dan 10 guni berdekatan sebuah kereta selain enam tangguk tangan dan satu penyukat anak kerang.

Hasil rampasan itu bernilai sekitar RM20,000 dan disusuli pada 30 Disember lalu, mereka telah berjaya menyita 13 guni benih kerang yang ditinggalkan di Jalan Bagan 9, Sekinchan.

 Ini dianggarkan RM26,000 manakala terkini pada 1 Januari lalu, Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam merampas 18 tangguk tangan yang digunakan untuk aktiviti curi anak kerang.

“Serbuan di darat pada pukul 3 pagi itu ke atas suspek namun kesemua sempat lari ke arah laut menggunakan sampan berenjin ekor biawak bersama anak kerang di dalam guni.

Bagaimanapun, Pejabat Perikanan Daerah berjaya menyita 18 peralatan tangguk tangan yang masih ada sisa anak kerang disyaki digunakan untuk kegiatan itu dengan nilainya RM3,600.

Menyentuh aduan Jamal mengenai kegiatan pengambilan benih kerang secara haram dengan menggunakan enjin ‘rotor’, kenyataan itu berkata, Jabatan Perikanan melarang kaedah itu.

“Ini meliputi aktiviti kutip benih kerang di kawasan tapak semula jadi oleh para nelayan dan penternak dengan kaedah tidak yang berlesen termasuk bot berenjin rotor,” tegas jabatan itu.

Ia ujarnya, boleh merosakkan ekosistem dan hidupan akuakultur lain, namun siri tindakan penguatkuasaan bersama pelbagai agensi lain sama ada di laut dan di darat akan diteruskan.

Jabatan itu turut menyambut baik beberapa cadangan yang disampaikan oleh Jamal malah sentiasa melakukan rondaan serta pemantauan bagi mengekang kes kecurian benih kerang.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya