Isyarat UMNO perlu diterajui muka baharu - Utusan Malaysia

Isyarat UMNO perlu diterajui muka baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Desakan beberapa suara akar umbi UMNO yang mahukan perubahan terhadap pucuk pimpinan memberi isyarat parti Melayu itu sudah bersedia atau perlu diterajui muka baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pensyarah Kajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, desakan itu dibuat bukanlah untuk menyingkirkan pemimpin tertinggi parti semata-mata tetapi bagi memastikan UMNO terus menjadi parti relevan pada masa akan datang.

Katanya, jika UMNO terus dipimpin ‘dinosaur politik’, parti itu akan mengambil masa lebih lama untuk melakukan perubahan dan meraih semula kepercayaan orang Melayu.

“Wakil-wakil akar umbi UMNO hanya mahu memastikan kelangsungan parti, mereka mahukan pemimpin yang boleh membawa parti lebih maju dan berwawasan serta meletakkan kepentingan parti berbanding peribadi.

“Mereka menghargai jasa pemimpin tertinggi sebelum ini yang menjadi punca UMNO masih bertapak lagi di negara ini, tetapi jika parti ini terus diterajui pemimpin sedia ada, UMNO mungkin akan ambil masa lebih lama untuk berubah dan sokongan orang Melayu kemungkinan akan beralih arah ke parti lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada masa sama, Tawfik menganggap UMNO perlu berhati-hati dalam memilih rakan politik bagi menghadapi PRU-15.

“UMNO perlu selektif dalam kerjasama politik, rakan kongsi perlu jujur dan telus kerana jika tersilap langkah parti terbesar Melayu ini boleh terkubur dan hanya akan menjadi sejarah dalam muzium nanti,” katanya.

Bagaimanapun Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir pula menganggap perubahan pucuk pimpinan dalam UMNO akan memberi kesan buruk, kerana tidak semua pihak boleh menerima muka baharu menerajui parti itu.

“Tidak patut UMNO lakukan perubahan pimpinan ketika ini kerana ia akan beri kesan besar kepada parti, langkah terbaik ketika ini adalah memperkukuhkan parti dan hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

“UMNO perlu sedar diri dan tidak boleh angkuh, parti ini tidak boleh ke mana-mana kalau bergerak sendiri, justeru pemilihan pakatan politik amat penting kerana jika berlaku kesilapan, lagi sukar untuk bangkit semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN