Hujan berterusan punca banjir teruk di Muallim, Slim River

Hujan berterusan punca banjir teruk di Muallim

KEADAAN banjir yang melanda rumah penduduk di Taman Slim Permai, Slim River hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Hujan berterusan sejak kelmarin menyebabkan banjir kilat hingga beberapa rumah penduduk di Kampung Balun, Taman Slim Permai dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Balun di sini terjejas teruk.

Hujan tidak berhenti itu menyebabkan air dari Sungai Slim mula naik dan melimpah ke jalan utama hingga memasuki rumah penduduk terutama di kawasan rendah.

Difahamkan, keadaan banjir itu paling teruk dialami penduduk sejak beberapa tahun lalu dengan air banjir naik sehingga ke paras leher.

Seorang penduduk, Khairunisak Jamaludin, 51, berkata, air mula memasuki rumahnya di Taman Slim Permai pada pukul 5 petang namun naik mendadak dengan aliran deras di sebelah malam.

Katanya, banyak peralatan elektrik miliknya termasuk mesin basuh, peti ais dan mesin pengering baju gagal diselamatkan ekoran air naik terlalu cepat.

“Hujan memang tidak berhenti sejak kelmarin dan semalam. Apabila melihat air mula masuk ke dalam rumah, kami memindahkan barang-barang ke atas meja.

“Tidak sangka pula air naik dengan cepat dan laju sehingga meja pun terbalik. Barang-barang elektrik pun tidak dapat diselamatkan kerana arus deras,” katanya di sini hari ini.

Menurut Khairunisak, walaupun rumahnya pernah dilanda banjir, namun kejadian semalam yang paling teruk dialami mereka sekeluarga.

“Biasanya air yang masuk alirannya tenang sahaja cuma semalam, sangat deras sampai separas dada orang dewasa. Kali ini banjir memang sangat teruk,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk RPT Kampung Balun, Mokthar Ujang, 69, berkata, banjir yang berlaku semalam adalah yang terburuk di Kampung Balun sejak tahun 90-an.

Katanya, air naik mendadak selepas hujan lebat menyebabkan struktur tebatan banjir atau ban pecah sehinggakan air sungai melimpah masuk ke kawasan perumahan mereka.

“Di RPT Kampung Balun ini kira-kira 10 buah rumah terjejas membabitkan 60 penduduk. Itu tidak termasuk lagi di Taman Slim Permai dan Kampung Balun sendiri.

“Banjir ini paling buruk sejak kali terakhir berlaku pada tahun 90-an. Ramai penduduk yang terjejas dan terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Balun bermula tengah malam tadi,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Muallim, Kapten Shahrizal Hussin berkata, sebanyak lapan PPS dibuka semalam membabitkan 458 penduduk daripada 109 keluarga.

Menurut beliau, kawasan yang terjejas akibat banjir ialah Kampung Slim Village, Kampung Pasir, Kampung Lintah, Kampung Ulu Slim, Kampung Naran, Kampung Pauh dan Kampung Balun.

Katanya, turut terjejas, Kampung Kuala Slim, Taman Slim Permai, RTP Kampung Balun, Kampung Orang Asli Changkat Ramu dan Sungai Lembing, Kampung Trolak Pekan dan Kampung Rasau.

“Kali pertama di daerah Muallim apabila lapan PPS dibuka dalam satu malam bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

“Bagaimanapun tiga PPS di Kampung Pasir, Sungai Lembing dan Kampung Pauh ditutup hari ini selepas air mulai surut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya