KUALA LUMPUR: Beberapa hospital swasta didakwa cuba mengaut keuntungan terhadap individu yang ingin melakukan pemeriksaan kesihatan Covid-19 dengan mengenakan caj mencecah hampir RM1,000 untuk satu kepala menggunakan kaedah Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, seorang kakitangan kerajaan, Shafiza Shafie, 41, berkata, dakwaan itu hadir selepas dia menghantar anaknya berumur 5 tahun untuk pemeriksaan kesihatan Covid-19 menerusi RT-PCR di hospital swasta di Pulau Pinang pada April tahun lalu, dan mujur anaknya disahkan negatif wabak berkenaan.
Semakan Utusan Malaysia terhadap sebut harga yang diberikan, dia dikenakan caj berjumlah RM836.92 merangkumi saringan dan ujian Covid-19 masing-masing berharga RM270 dan beberapa alat kelengkapan seperti but, apron, topi, alas kasut, gaun plastik pengasingan pakai buang CPE dan peralatan perlindungan peribadi (PPE) berjumlah RM296.92.
“Mereka beritahu kos saringan dalam RM300 sahaja tetapi apabila masuk dalam bil perubatan ada dimasukkan kos-kos lain dan saya terpaksa membayarnya. Kalau anak saya tak dapat rawatan pun saya tahu harga lebih kurang macam itu di tempat lain.
“Apa yang staf hospital beritahu pada saya adalah berbeza seperti yang tertera di dalam bil. Kiranya terdapat caj-caj yang tersembunyi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada 23 Mac tahun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mengawal harga saringan kesihatan Covid-19 di hospital swasta selain menyifatkan harga antara RM500 sehingga RM600 adalah berpatutan bagi satu kepala manakala RM1,000 atau lebih sudah membebankan.
Menurut soalan lazim (FAQ) kementerin Kesihatn mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat yang ingin membuat pemeriksaan Covid-19 tetapi tidak mempunyai gejala boleh ke hospital swasta bagi membuat pemeriksaan tersebut namun perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 akan dikenakan caj oleh pihak syarikat swasta berkenaan.
Utusan Malaysia menghubungi beberapa hospital dan klinik swasta secara rawak yang menjalankan saringan Covid-19. Rata-ratanya memberitahu harga yang dikenakan adalah kurang daripada RM400 bagi ujian RT-PCR dan kurang RM200 untuk Rapid Test Kit (RTK) Antibodi.
Bagi seorang kakitangan syarikat swasta, Zainal Abidin Muhammad, 42, berkata, dia berdepan situasi sama selepas menghubungi sebuah hospital swasta terkenal di ibu negara untuk bertanyakan harga bagi saringan kesihatan Covid-19 selepas dia disyaki menjadi kontak rapat dengan seorang rakannya yang disahkan positif.
Katanya, namuun dia terkejut apabila mendapat tahu bahawa hospital itu mengenakan caj antara RM500 sehingga RM850 iaitu kira-kira dua kali ganda daripada harga sebenar yang ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak mengambil keputusan untuk menjalankan saringan kesihatan di hospital tersebut rentetan terlalu mahal dan tidak berbaloi dengan perkhidmatan yang diberikan selain kakitangan hospital terbabit tidak memakai PPE dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Zainal yang pernah disahkan positif influenza A (H1N1) pada 2009 berkata, dia musykil terhadap tetapan harga berkenaan malah tidak jelas organisasi mana sama ada Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ataupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab dalam mengawal selia dan memantau harga yang tidak konsisten itu.
“Saya tanya hospital kenapa mahal? Mereka kata doktor yang bertugas tidak ada dan terpaksa menggunakan khidmat doktor luar. Katalah saya dalam keadaan kritikal nak jalankan ujian tapi tiada duit macam mana? Sedangkan hospital itu sahaja yang boleh buat sebab yang lain tutup.
“Selain itu, alasan mereka juga disebabkan jumlah kit ujian Covid-19 adalah terhad jadi mereka terpaksa menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah dan operasi mengikut waktu pejabat. Sebenarnya, ini di bawah kawalan siapa?” katanya. – UTUSAN










