Harga barang basah, sayur naik - Utusan Malaysia

Harga barang basah, sayur naik

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Terdapat kenaikan harga barangan bagi barang basah termasuk sayur-sayuran di Johor, Perak, Kelantan dan Pahang.

Demikian diakui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melalui 246 notis bertulis dikeluarkan kepada peniaga susulan pemantauan kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, melalui penguatkuasaan Op Pasar 2021 (sayur-sayuran) selama tujuh hari bermula 12 Januari lalu, sebanyak 258 premis peruncit dan pembekal diperiksa yang melibatkan 743 barangan yang terdiri daripada lima sayur-sayuran utama iaitu tomato, cili merah minyak dan kulai, lobak dan kubis bulat.

“Selain itu, sebanyak 266 premis diperiksa yang melibatkan 2,289 barangan minyak masak pelbagai jenama bagi botol dua kilogram (kg), tiga kg dan lima kg dan hasil daripada pemantauan lanjut aduan kenaikan harga minyak masak juga, sebanyak enam notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikemukakan kepada peruncit.

“Pemantauan terhadap barang-barang keperluan secara harian dan mendapati terdapat barangan yang mengalami kenaikan harga, penurunan harga dan tiada berlaku sebarang perubahan harga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alexander berkata, antara barangan yang menunjukkan peningkatan adalah sayur-sayuran seperti tomato dan sawi manakala harga bawang yang diimport daripada pelbagai negara pengeluar menunjukkan berlakunya penurunan harga.

Katanya, peningkatan harga barangan keperluan tersebut disebabkan oleh musim tengkujuh yang melanda di Pantai Timur hingga menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.

“Faktor perubahan cuaca yang terlampau sejuk di negeri pengeluar bekalan utama sayur-sayuran seperti di Cameron Highland yang menyebabkan kualiti dan kuantiti hasil sayur-sayuran berkurangan.

“Bagaimanapun kita akan terus memantau bekalan dan harga barangan di pasaran khususnya pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini bagi memastikan tiada berlakunya masalah kekurangan bekalan barangan keperluan dan kenaikan harga yang mendadak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya