Gimik bakar kerang marah Geng Rotor depan ibu pejabat Jabatan Perikanan - Utusan Malaysia

Gimik bakar kerang marah Geng Rotor depan ibu pejabat Jabatan Perikanan

JAMAL Md. Yunos membakar kerang selepas menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perikanan Malaysia berhubung kes kecurian benih kerang di Wisma Tani Putrajaya, di sini, hari ini.- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Geram dengan jenayah Geng Rotor berleluasa curi benih kerang di perairan Sungai Besar, Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos sekali lagi bertindak luar biasa iaitu membakar kerang.

Jika semalam, gimik itu dibuat di depan Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam, namun, kali ini beliau melakukannya pula di depan Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia di sini hari ini.

“Saya mahu pihak perikanan lebih tegas bendung kegiatan salah ini kerana meskipun ada tangkapan, tetapi, tiada pendakwaan dibuat malah dilepaskan penjenayah itu,” katanya kesal.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata demikian dalam sidang akhbar setelah menyerah memorandum kepada Ketua Pengarah Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramly.

Menurut Jamal, beliau hadir ke sini kerana pihak perikanan daerah ketika ditemui kelmarin mendakwa tidak dapat berbuat apa-apa dan memintanya diajukan isu itu kepada ibu pejabat.

“Mereka kata konon tidak cukup tenaga dan peralatan bagi tangkap geng itu, namun apabila saya adu kepada polis, pihak itu pula berkata sedia bertindak pada bila-bila masa,” katanya.

Jamal dalam pada itu berkata, kegiatan Geng Rotor berani melakukan jenayah itu bebas secara terbuka kerana mendakwa mereka boleh ‘berunding’ dengan pihak perikanan sendiri.

Justeru, kesal dengan sikap biadab kumpulan 100 bot penjenayah itu, beliau berharap pihak ibu pejabat perikanan bertindak tegas bagi membersihkan nama dan imej jabatan tersebut.

“Saya tidak mahu nanti masyarakat nelayan akan hilang kepercayaan kepada agensi kerajaan dan jejas maruah kerajaan sekarang sebagai tidak peduli nasib rakyat miskin,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Jamal berkata, kumpulan geng itu menggunakan rotor atau mesin bagi sedut ratusan ribu benih anak kerang dan tumbuh semula jadi di perairan Sabak Bernam selama ini.

Beliau mendakwa, geng itu mampu mendapat sehingga 10 tin saiz minyak masak yang setiap satu bernilai RM1,000 dan kemudian diseludup ke Thailand sebelum dijual balik ke negara ini.

“Di sana, ia diternak hingga besar dan apabila sudah matang, harganya jauh lebih mahal dan rakyat kita terpaksa bayar harga tinggi untuk kerang yang asalnya dari Malaysia,” katanya,

Jamal pada masa sama berharap, kegiatan itu dapat dibanteras kerana geng itu menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai yang miskin dan bergantung sumber alam untuk sara hidup. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya