Gegantung dan logo sukan elektronik sumber pendapatan - Utusan Malaysia

Gegantung dan logo sukan elektronik sumber pendapatan

HELMI Husaini Abd.Rahim mereka bentuk gegantung dan logo e-sukan dengan menggunakan kelengkapan asas iaitu sebuah komputer riba di rumahnya di Teluk Bahang, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang remaja berusia 20 tahun yang juga seorang pemain sukan elektronik (e-sukan) Mobile Legend (ML) bijak mencari peluang perniagaan dengan menjadikan bidang reka bentuk gegantung (bunting) dan logo e-sukan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Helmi Husaini Abd. Rahim berkata, perniagaannya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu selepas dia mereka bentuk logo untuk laman penstriman langsung seorang rakannya yang juga pemain ML.

“Dari situ ramai bertanya dan mahu saya mereka gegantung serta logo untuk laman mereka.

“Saya sendiri tidak sangka hobi yang sekadar untuk mengisi masa lapang kini menjadi sumber pendapatan sampingan untuk saya,” katanya ketika ditemui di Teluk Bahang, di sini hari ini.

Menurut Helmi atau lebih dikenali sebagai Tanjiro di alam maya, pelanggan yang paling jauh pernah mendapatkan khidmatnya adalah dari Sabah.

“Ketika awal PKP, pendapatan yang saya peroleh hasil mencipta logo dan gegantung bunting e-sukan mencecah empat angka.

“Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai pembantu jualan kerana mahu menumpukan perhatian dalam perniagaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, ketika tempahan untuk logo dan bunting e-sukan meningkat dia akan memastikan sekurang-kurangnya 10 logo atau bunting dapat disiapkan dalam masa sehari.

“Logo dan gegantung ini berharga serendah RM10 hingga RM20 mengikut reka bentuk yang diinginkan pelanggan.

“Saya hanya belajar sendiri dengan melihat Youtube cara-cara untuk mereka bentuk logo dan bunting secara digital.

“Mereka yang berminat untuk mendapatkan logo atau gegantung e-sukan boleh meninjau laman instagram saya iaitu Tanjiro logo shop,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.