Fasiliti kesihatan kritikal - Utusan Malaysia

Fasiliti kesihatan kritikal

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Fasiliti Kementerian Kesihatan diakui sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000  kes baharu setiap hari. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, realiti situasi sistem kesihatan pada masa ini berada dalam keadaan kritikal dengan 15 hospital Covid-19 mencatatkan kadar  penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

Menurut beliau, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit  Covid-19 di Lembah Klang iaitu di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan  Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital  Sungai Buloh pula 83 peratus. 

Kata beliau, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di lima negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak  telah melebihi 70 peratus. 

“Buat masa ini, terdapat lebih dari 1,450 anggota perubatan di  hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa  menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas. 

“Jumlah kematian akibat Covid-19 pula terus meningkat kepada  521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus. Malaysia  mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober  hingga Disember berbanding dua hingga 59 kes kematian  sebulan bagi Mac hingga September tahun lalu,” katanya dalam perutusan khas, di sini hari ini. 

Muhyiddin berkata, pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan  petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk dibawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah  COVID-19 (PKRC). 

Kata beliau, bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga  menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga  di antara negeri sekali gus menyulitkan usaha menambah bilangan katil  ICU untuk pesakit kritikal.

Dalam menangani pandemik Covid-19, Perdana Menteri berkata, amat penting bagi  mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes  yang mendadak dalam tempoh masa yang singkat. 

Kata Perdana Menteri, peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan  melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip  mata dan tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang  memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat. 

“Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah  realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang  terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang  campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat. 

“Justeru berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian  Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta  pelbagai Kementerian dan Agensi serta nasihat pakar-pakar  kesihatan awam di dalam negara, kerajaan bersetuju dengan  pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk  memutuskan rantaian jangkitan penularan virus Covid-19,” katanya.

Mengikut rekod, Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi Covid-19  pada 24 Oktober tahun lalu (iaitu sejumlah 1,228 kes) dan bermula penghujung November, fenomena kes harian empat digit direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi  dilaporkan pada 7 Januari lalu sebanyak 3,027 kes. 

Kata Perdana Menteri, di dalam gelombang ketiga bermula pada 20 September tahun lalu, sejumlah 476 kluster baharu dilaporkan sehingga semalam melibatkan 259 kluster tempat kerja.

Katanya, data ini  menunjukkan peningkatan ketara bilangan kluster baharu di dalam  gelombang ketiga berbanding 110 kluster baharu yang direkodkan  semasa gelombang kedua dengan 25 kluster melibatkan  tempat kerja.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 586 kluster telah direkodkan  sehingga semalam dengan 48.46 peratus daripadanya merupakan  kluster yang melibatkan tempat kerja. Daripada jumlah ini juga,  sebanyak 254 kluster masih lagi aktif manakala 332 kluster telah  pun diisytiharkan tamat,” katanya.  

Pada permulaan gelombang ketiga, kata Muhyiddin, kes-kes lebih tertumpu kepada kumpulan bukan warganegara, iaitu  sebanyak 63 peratus dan hanya 37 peratus melibatkan warganegara. 

Namun, katanya,  perkembangan semasa menunjukkan jangkitan dalam kalangan  warganegara semakin meningkat dan sehingga hari ini, sebanyak 70 peratus kes positif Covid-19 di Malaysia adalah melibatkan  warganegara dan hanya 30 peratus bagi bukan warganegara. 

“Berdasarkan nilai R-naught semasa yang berada pada paras 1.1  bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia, unjuran kes  harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes  sehari pada minggu kedua April ini dan akan melonjak  kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat Mei. 

“Semakin tinggi nilai R-naught, semakin sukar untuk mengawal  penularan kerana semakin ramai yang telah dijangkiti. Pelaksanaan  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac telah berjaya  menurunkan nilai R kepada 0.335, sekaligus mengurangkan kes  jangkitan COVID-19 kepada angka satu hingga dua digit  sehari,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya