Dua beranak ditahan dalangi sindiket rokok seludup  - Utusan Malaysia

Dua beranak ditahan dalangi sindiket rokok seludup 

KERETA jenis Honda City dan rokok seludup yang dirampas daripada dua serbuan di daerah Klang , Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan dua beranak termasuk bapanya yang merupakan warga Bangladesh menjalankan kegiatan perniagaan rokok seludup sejak lebih setahun lalu membawa padah apabila mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di daerah ini malam tadi.

Tangkapan terhadap kedua-dua individu berusia 27 dan 49 tahun itu turut membongkar sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan rokok seludup.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Rizal Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menahan lelaki warga tempatan yang sedang memandu sebuah kenderaan di Jalan Datuk Harun, Sg. Kembong, Pulau Indah di sini dan merampas 160 karton rokok tidak bercukai kira-kira pukul 10.30 malam semalam.

Menurutnya, hasil siasatan telah membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Taman Pandamaran Permai di sini yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok seludup kira-kira dua jam berikutnya.

“Hasil serbuan telah menemukan 430 karton rokok tidak bercukai di kediaman tersebut dan menahan bapa kepada lelaki terbabit yang merupakan warga Bangladesh berstatus pemastautin tetap yang mana telah tinggal lebih 20 tahun di negara ini.

“Kita percaya lelaki ini terlibat dengan aktiviti penjualan atau pengedaran rokok di sekitar daerah ini. Kita turut merampas dua buah kenderaan jenis Honda City dan telefon bimbit dan dianggarkan jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM155,135,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya percaya dengan tangkapan tersebut menumpaskan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai kepada peruncit di sekitar Pendamar, Pulau Indah dan Klang.

“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk tindakan di bawah Akta Kasta, 1967.

“Kita menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya