BALIK PULAU: Masalah yang dihadapi pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Kompleks Sukan Balik Pulau di sini semakin menjadi-jadi apabila timbul pula isu membabitkan kekurangan bekalan makanan dan air bersih.
Paling menjengkelkan apabila tandas yang disediakan bagi menampung lebih 400 pesakit warga tempatan dan warga asing itu kebanyakannya didakwa tersumbat sehingga menyebabkan najis melimpah.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail kepada wartawan Utusan Malaysia hari ini selepas laporan berkaitan masalah kesesakan pesakit berlaku di pusat kuarantin berkenaan semalam.
Menurut beliau, rata-rata pesakit yang ditempatkan di situ meluahkan rasa kecewa dengan tahap kebersihan serta layanan yang diterima.
“Difahamkan seramai 432 orang pesakit positif covid-19 yang menjalani dikuarantin di PKRC.
“Mereka juga perlu menunggu lebih satu jam jika ingin menggunakan tandas kerana bilangan tandas yang tidak mencukupi untuk menampung lebih 400 orang.
“Pembelaan sewajarnya perlu diberi kepada pesakit tempatan dan mereka perlu diasingkan dengan pesakit warga asing tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd. Tuah menyeru kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu terbabit termasuk bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkaitan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan pesakit Covid-19 warga tempatan yang menjalani kuarantin di Kompleks Sukan Balik Pulau itu dikatakan semakin dibelenggu tekanan selepas terpaksa tinggal dalam keadaan sesak bersama ratusan pesakit warga asing yang ditempatkan di situ.
Keadaan menjadi bertambah sukar apabila mereka dikatakan terpaksa berebut mengambil makanan, mandi dan solat bersama warganegara asing terbabit di tempat sama.
Difahamkan, hanya dua buah tandas yang berfungsi manakala lebih kurang 10 bilik air digunakan lebih 300 pesakit yang ditempatkan di situ.
Susunan katil pesakit juga dikatakan terlalu rapat dan tiada langsung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pesakit. – UTUSAN











