Bacaan meter elektrik, operasi Kedai Tenaga seperti biasa - Utusan Malaysia

Bacaan meter elektrik, operasi Kedai Tenaga seperti biasa

pru15
SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Operasi semua Kedai Tenaga dan bacaan meter elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) diteruskan seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah bagaimanapun berkata, pelaksanaan itu masih mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Selain itu, semua perkhidmatan pembekalan lain seperti penyambungan baharu, pembaikan kerosakan dan perkhidmatan pelanggan juga berjalan,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

Ia susulan arahan PKP yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin dan berkuat kuasa mulai hari ini melibatkan lima negeri dan kesemua tiga Wilayah Persekutuan.  

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, bagi urusan bayaran, para pengguna dinasihatkan menggunakan kemudahan transaksi secara atas talian menerusi laman sesawang rasmi TNB.

“Ia juga boleh dibuat melalui aplikasi myTNB dan jika ada masalah atau pertanyaan lanjut, sila hubungi TNB Careline di talian 15454 atau platform media sosial Facebook TNB,” tambahnya.

Beliau turut menasihati dan memberi panduan kepada pengguna untuk mengamalkan elektrik secara berhemah dan cekap ketika PKP kerana dijangka penggunaan tenaga naik daripada biasa.

Ini ujar Shamsul Anuar, berikutan ramai pengguna mematuhi arahan duduk di rumah, bekerja dari rumah dan anak-anak pula menghadiri sesi pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya.

“Antara boleh diamalkan ialah mematikan suis peralatan produk selepas digunakan dan tidak biar sahaja penghawa dingin, kipas atau lampu terpasang dalam bilik yang kosong,” jelas beliau.

Pihak pengguna katanya, boleh mendapatkan maklumat mengenai panduan penggunaan bekalan elektrik yang lebih efisien melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga dan TNB sendiri.

Selain itu, beliau menyarankan pengguna agar memanfaatkan Program SAVE 2.0 untuk dapat e-rebat RM200 apabila beli penyaman udara dan peti ais cekap tenaga dan jimat bil bulanan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya