Azman Adam dilantik sebagai Pengarah Penguat Kuasa baharu - Utusan Malaysia

Azman Adam dilantik sebagai Pengarah Penguat Kuasa baharu

ALEXANDER Nanta Linggi memakaikan pangkat kepada Azman Adam dalam satu majlis tertutup hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini memaklumkan Azman Adam dilantik sebagai Pengarah Bahagian Penguat Kuasa baharu.

 Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelantikan itu berkuat kuasa pada 5 Januari lalu setelah persaraan Datuk Iskandar Halim Sulaiman pada 16 Disember lepas.

“Beliau memang memiliki pengalaman luas lagi holistik dan mempunyai daya kepimpinan yang terbukti khususnya dalam bidang penguatkuasaan,” katanya menerusi kenyataan di sini.

 Penyempurnaan sesi pemakaian pangkat diadakan secara tertutup dan hanya melibatkan pengurusan tertinggi kementerian itu dalam kapasiti terhad serta terkawal dengan diselia rapi.

 Azman ujarnya, pernah diberi pelbagai peranan di beberapa negeri seperti Ketua Pegawai Penguat Kuasa Selangor sebelum ke Ibu Pejabat sebagai Timbalan Pengarah Pencegahan.

Alexander menambah, dalam bidang kemasyarakatan, Azman pernah diberikan tugas penting di beberapa portfolio di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan peringkat kementerian.

 Azman lahir pada 16 Januari 1971 di Terengganu dan dapat pendidikan di Sekolah Menengah Tanjung Lela Segara, Marang sebelum menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan itu berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 28 tahun lalu sebagai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Gred N27 sehingga tahun 2000.

 Pernah diberi tanggungjawab Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Sarawak hingga 2002 dan seterusnya di pejabat kementerian itu di Terengganu pada 2004 atas kenaikan pangkat.

Pelbagai pengiktirafan diterima beliau antaranya Sijil Penghargaan daripada Sultan Selangor dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri selain Ketua Setiausaha kementerian tersebut.

 Bahkan Azman pernah meraih High Performance Award, Mayban Finance Berhad pada 1992 serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian pada 1998, 2005, 2007, 2009 dan 2011.

“Saya serta warga kementerian ini akan memberi sokongan dan kepercayaan sepenuhnya kepada Azman untuk menggalas amanah dan jawatan yang baharu ini,” tambah Alexander.

 Beliau juga yakin Azman akan terus mendokong misi dan visi kementerian dalam keadaan penuh siap siaga dan upaya menyelia pematuhan perundangan dalam kalangan peniaga.

 Pada masa sama, Alexander berharap Azman prihatin dalam melindungi kepentingan para pengguna serta melaksanakan tugas dengan penuh integriti, mesra, pantas dan efektif. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya