85,358 permohonan pendaftaran pemilih baharu - Utusan Malaysia

 85,358 permohonan pendaftaran pemilih baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 85,358 permohonan pendaftaran  pemilih baharu daripada warganegara yang layak bagi suku keempat tahun lalu (ST2/2020).

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, sebanyak 31,162 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih  berdaftar turut diterima yang memohon dalam tempoh antara 1 Oktober hingga 31 Disember 2020. 

Justeru, beliau berkata, SPR akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih  Tambahan (RDPT) ST4/2020 selama 14 hari mulai 27 Januari hingga 9 Februari ini di 910 tempat pameran di seluruh negara. 

“Semakan RDPT ST4/2020 boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan seperti hadir ke 910 tempat pameran di seluruh  negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya  Parlimen yang diletakkan. 

“Semakan juga boleh dibuat dengan melayari portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan dan menyemak buku RDPT ST4/2020 yang disediakan,” katanya hari ini.

Ikmalrudin menjelaskan, semua pemohon dinasihatkan menyemak nama mereka  dalam RDPT ST4/2020.

Katanya, sekiranya pemohon mendapati namanya  tidak disenaraikan, mereka boleh membuat  tuntutan melalui Borang B.  

Ujar beliau, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya  yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST4/2020 itu,  ia boleh berbuat demikian dengan mengisi  Borang C.  

“Borang B dan Borang C boleh dimuat turun dari portal Pejabat Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada  Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan  pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana  hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan,” katanya.

Ikmalrudin pada masa sama berkata,  pihaknya  juga  mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan  daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang  taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada  Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya  (Pendaftaran Pemilih) 2002.

 Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST4/2020 boleh  menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana  Pejabat Pilihan Raya Negeri. 

“Pemohon juga boleh melayari portal  SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau aplikasi MySPR Semak  untuk membuat semakan,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya