GUA MUSANG: Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing di sini yang rosak dalam kejadian tanah runtuh Ahad lalu dijangka mengambil masa lebih enam bulan untuk dibaiki sepenuhnya kerana terdapat struktur jalan didapati terputus terus.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebagai perhubungan sementara, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membaik pulih hanya satu lorong terlebih dahulu selain kgiat melakukan erja-kerja pembersihan.
“Ini bagi membolehkan pengguna jalan dari Gua Musang melaluinya untuk ke Cameron Highlands, Pahang dan Ipoh, Perak.
“Jalan ini dijangka boleh dilalui dalam masa terdekat ini selepas usaha membaiki salah satu lorong selesai,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja pembaikian jalan tersebut di sini semalam.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati bongkah batu dan sisa kayu akibat aliran banjir lumpur masih memenuhi permukaan jalan raya di laluan sepanjang kira-kira dua kilometer.
Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, orang ramai tidak digalakkan untuk menggunakan laluan Gua Musang-Lojing terutamanya pada musim hujan kerana bimbang kejadian tidak diingini.
Katanya, walaupun ada jalan alternatif untuk ke Cameron Highlands atau ke Ipoh melalui jalan lama kampung Orang Asli tetapi ia tetap berisiko.
“Kita berharap pengguna jalan raya melalui Jalan Sungai Koyan ke Cameron Highlands dan terus ke Simpang Pulai, Perak untuk ke Lebuh Raya Utara-Selatan.
“Jalan itu boleh melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis sebelum memasuki Jalan Sungai Koyan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Laluan di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing ditutup kepada semua kenderaan sejak petang Ahad lalu selepas berlaku runtuhan tanah dari lereng bukit yang turut mengakibatkan banjir lumpur.
Kejadian itu menyebabkan pengguna jalan raya dari Gua Musang dan Cameron Highlands terkandas apabila lumpur seperti tanah, bongkah batu dan sisa kayu menimbus laluan kedua-dua arah. – UTUSAN









