KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut manakala empat lagi termasuk bayi berusia sebulan cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kilometer 11.8 Lebuhraya Grand Saga di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa yang maut, Khoo Suat Teng, 36, yang juga penumpang hadapan kenderaan terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Vios dinaiki lima sekeluarga itu membrek secara mengejut sebelum berpusing dan terbalik.
“Kejadian menyebabkan penumpang hadapan bersama bayinya tercampak keluar, manakala tiga yang lain cedera ringan dan dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman memberitahu, hasil siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan yang terselamat mendakwa mereka telah dirempuh dari belakang oleh kenderaan tidak dikenal pasti menyebabkan dia brek mengejut.
“Bagaimanapun pemeriksaan polis mendapati tiada kesan rempuhan di bahagian belakang kereta.
“Kereta berkenan ditahan di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE