UMNO sudah penat jaga hati ‘rakan’ - Utusan Malaysia

UMNO sudah penat jaga hati ‘rakan’

Dr. Mazlan Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO seolah-olah sudah tidak kisah dengan hala tuju Muafakat Nasional (MN) bersama Pas berdasarkan tindakan drastik dan kenyataan terkini Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan negeri baharu di Perak.

Penganalisis politik melihat tindakan itu sebagai relevan kerana sejak tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pas lebih cenderung dan berpihak kepada Bersatu iaitu parti yang menunjangi kerajaan Persekutuan, berbanding UMNO yang terlebih dahulu mengikat kerjasama politik dengannya melalui Piagam MN.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan di Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berpendapat, UMNO seperti sudah penat untuk menjaga hati rakan sekutunya itu selepas Pas dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) melalui wadah MN.

Beliau berkata, langkah politik di Perak juga dipercayai dilakukan bagi memperlihatkan kewibawaan parti, yang mana UMNO mampu bergerak tanpa berharap ‘ihsan’ politik daripada sesiapa.

“Ahmad Zahid mempertimbangkan segala kemungkinan termasuk untuk membentuk jajaran politik yang baharu. UMNO bersedia, maknanya mereka tidak takut andainya diugut oleh Bersatu ataupun Pas.

“Pedulikan, UMNO ada pilihan sekarang ini. Apa yang berlaku di Perak sebenarnya menzahirkan kekecewaan UMNO terhadap hubungan dengan Pas dan juga Bersatu. Ia lebih kepada memikirkan survival politik diri sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahad lalu, UMNO tidak menolak kemungkinan mengadakan kerjasama dengan PH termasuk DAP bagi membentuk kerajaan negeri baharu di Perak.

Ahmad Zahid berkata, ini berikutan keputusan Pas dan Bersatu yang tidak menyokong pembentukan kerajaan baharu di negeri itu.

Menurutnya, namun pembentukan gabungan jajaran politik baharu itu tertakluk kepada keputusan muktamad oleh kepimpinan tertinggi parti.

Dr kamarul Zaman Yusoff

Dalam pada itu, pensyarah kanan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, DAP dilihat benar-benar bersungguh mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu.

Beliau berkata, ia susulan kenyataan terbuka Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang mendakwa kerjasama antara DAP dan UMNO akan mematikan persepsi DAP anti-Melayu dan anti-Islam.

“Memang bersungguh benar nampaknya para pemimpin DAP mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu di Perak.

“Kalau tak bersungguh takkan lah Kor Ming sampai keluarkan tujuh dalil mengapa DAP perlu bekerjasama dengan UMNO,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN