UMNO 'okey' di Pagoh, tapi tidak kerusi lain - Utusan Malaysia

UMNO ‘okey’ di Pagoh, tapi tidak kerusi lain

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: UMNO dikatakan berkompromi berhubung kedudukan kerusi Parlimen Pagoh dan kekuatan jentera bagi membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun, parti itu tidak sama sekali memberi laluan kepada kerusi lain termasuk bekas pemimpin parti yang melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut sumber, UMNO tidak sesekali memberi laluan kepada Bersatu berhubung agihan kawasan yang sudah sememangnya menjadi kerusi tradisi parti itu dan akan mempertahankannya pada pilihan raya umum nanti.

“Dalam banyak-banyak kerusi, kita hanya boleh berkompromi kerusi Parlimen untuk Tan Sri Muhyiddin dan tidak pula kepada kerusi lain seperti Mersing.

“Situasi sama juga berlaku di Muar dan Simpang Renggam yang sebelum ini Bersatu dan kini Bebas termasuk bagi kawasan sebelum ini Pakatan Harapan (PH) kini masuk Bersatu seperti Parlimen Segamat.

“Kalau ikutkan kerusi ini milik UMNO dan ada yang menang atas tiket BN, mengapa kita perlu beri laluan kepada mereka?,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon di semua 26 kerusi Parlimen di Johor, namun menang hanya lapan kerusi dan jumlah itu berkurangan setelah Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad menyertai Bersatu.

Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Mersing, Mohd. Youzaimi Yusof berkata, sudah semestinya kawasan Parlimen dimenangi UMNO dan BN pada pilihan raya lalu sebelum melompat ke Bersatu wajar dipertahankan memandangkan kemenangan sebelum ini di atas kapasiti dan jentera parti, bukannya pemimpin terlibat.

Katanya, tidak timbul soal sama ada UMNO perlu memberikan laluan kepada Bersatu memandangkan individu itu sudah bukan lagi di dalam parti di samping sudah tersimpang daripada perjuangan asal.

“Biarlah Bersatu sahaja menentukan hala tuju mereka sama ada nak bertanding di mana atau hendak bertanding lagi atau tidak? Pada pandangan peribadi saya, cukuplah sampai di sini sahaja. Masing-masing dah lama serta banyak dapat timbal balas dalam UMNO itu sendiri. Lagi pun rakyat inginkan muka-muka baharu.

“Jika berlaku pilihan raya dalam masa terdekat, dijangka bakal berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH. Dalam situasi ini, rakyat bijak menilai antara permata dan kaca.

“Mereka semua tidak mahu ulangi kesilapan iaitu memilih PH sebagai kerajaan dan semua kena ingat Bersatu adalah sebahagian kerajaan terdahulu,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Youzaimi menepis kenyataan mengatakan ‘pemimpin melompat’ bukan pengkhianat sebaliknya mereka berbuat demikian kerana tidak punyai prinsip diri dan integriti kerana masa bertanding bukan sahaja menggunakan lambang UMNO dan BN tetapi menggunakan seluruh jentera akar untuk memperoleh kemenangan.

“Seluruh jentera ini sudah pasti siang dan malam bekerja bagi memastikan calon disokong ini menang tetapi bila dah menang akhirnya mereka semua tertipu apabila melompat ke parti lain yang sememangnya tidak sama dalam perjuangan UMNO dan BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN