Tindakan penyamun `makan diri' - Utusan Malaysia

Tindakan penyamun `makan diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Tindakan dua lelaki yang mahu ‘berjinak-jinak’ dalam kegiatan samun di Taman Austin minggu lalu memakan diri apabila ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Masai semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D9 menahan dua lelaki berusia 28 dan 41 tahun antara pukul 7 hingga 9 malam.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun pada pukul 8.10 malam di Jalan Mutiara Emas, Taman Mount Austin, di sini, Jumaat lalu.

“Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap ini dipercayai baru lagi terlibat kegiatan samun dalam bulan ini. Setakat ini masih belum ada kes lain.

“Dalam serbuan itu, polis telah merampas tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebilah parang, dua pisau pemotong daging, tiga topi keledar, dua jaket, sebuah beg dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan samun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Padzli berkata, semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod kes jenayah dan dadah.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan tanpa senjata api.

“Pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi terus talian Hotline 072182323,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya