Tilam, sofa, almari paling banyak rosak - Utusan Malaysia

Tilam, sofa, almari paling banyak rosak

FARALIZA Che Hussin, 35, dan anaknya, Mohd. Syaq Fayat menjemur buku teks di hadapan rumah mereka di Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong di Kemaman hari ini. -UTUSAN/Nik Nur Izzatul Hazwani Nik Adnan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tilam, set sofa, almari dan beberapa perabot lain merupakan antara barangan yang paling banyak dibuang mangsa banjir di Rumah Mesra Rakyat (RMM) Telok Kalong di sini. 

Keadaan itu menyebabkan wujud longgokan sampah di tepi jalan masuk ke perumahan itu selepas kesemua barangan rosak akibat banjir dibuang penduduk.

Rata-rata penduduk mengakui terpaksa membuang tilam dan bantal mereka berikutan bau busuk kesan daripada limpahan air paya ketika bencana banjir berlaku pada Khamis lalu. 

Mangsa banjir, Faraliza Che Hussin, 35, berkata, kerja-kerja pembersihan masih dilakukan hingga selepas dua hari keluarganya pulang ke rumah  

“Tiada barang yang tidak ditenggelami air dan agak susah untuk membersihkan sebab lumpur yang tebal di samping limpahan air paya yang menyebabkan barang-barang berbau busuk. 

“Saya terpaksa membuang perabot, tilam dan set sofa dan kini rumah kami hampir kosong tanpa perabot,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini. 

Faraliza turut bersedih apabila peralatan sekolah termasuk baju dan buku teks dua anaknya, Mohd. Syaq Fahmi Amizarul, 10, dan Mohd.  Syaq Fayat, 9, ditenggelami air. 

“Baju sekolah anak-anak yang baru dibeli habis semuanya tenggelam, buku teks pula basah manakala buku tulis tidak dapat diselamatkan sebab tulisan sudah hilang,” katanya. 

Seorang lagi mangsa, Ruzaida Ismail, 38, berkata, hanya televisyen yang tergantung di ruang tamu rumahnya sahaja dapat diselamatkan dalam bencana itu. 

“Banjir kali ini benar-benar teruk dan semua barangan tidak boleh dipakai, buntu saya memikirkan semuanya,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.