Terima komisen lima peratus hasil penipuan Bitcoin - Utusan Malaysia

Terima komisen lima peratus hasil penipuan Bitcoin

Mohd. Padzli Mohd. Zain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Bukan sahaja menerima gaji bulanan RM3,000, malah, memperoleh komisen lima peratus daripada hasil penipuan bitcoin tidak wujud yang didalangi tujuh individu termasuk dua wanita setelah kegiatan itu dibongkar polis Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, mereka berperanan mencari mangsa di media sosial dengan memulakan perbualan sebagai kawan sehingga mendapat kepercayaan dan seterusnya mendorong sehingga melabur dalam bitcoin.

“Mangsa juga dikehendaki mendaftar semasa menyertai pelaburan tersebut bagi mendapatkan kata nama dan kata laluan. Mangsa yang menyertai pelaburan ini juga dikehendaki untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank yang dipercayai dikawal dari negara China.

“Terdapat laman sesawang yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam aktiviti pelaburan bitcoin tidak wujud ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Padzli, bertindak atas maklumat kegiatan mereka berjaya dikesan setelah kumpulan itu termasuk seorang lelaki warga China dan semua berusia lingkungan 17 hingga 25 tahun ditahan polis ketika serbuan di Taman Abad di sini minggu lalu.

Katanya, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebuah komputer riba dan 25 telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai digunakan oleh kesemua suspek untuk melakukan kegiatan penipuan pelaburan bitcoin.

“Kesemua suspek warga tempatan ditahan reman selama tiga hari manakala seorang suspek warga China ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut Mohd. Padzli, semakan rekod jenayah mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod kes jenayah.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya ditawarkan untuk sertai sebarang pelaburan. Masyarakat diingatkan sebelum menyertai sebarang pelaburan, pastikan pelaburan adalah wujud dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya