Tahap kesukarelaan belia Malaysia belum cukup baik - Utusan Malaysia

Tahap kesukarelaan belia Malaysia belum cukup baik

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan bakal mengadakan lebih banyak program bagi menarik minat golongan belia tempatan aktif dalam menceburi bidang kesukarelawanan.

Sambil menyifatkan tahap itu boleh diperbaiki, Timbalan Menterinya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan akan cuba memperkasakan isu berkenaan.

“Jika dilihat kajian terkini Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), skor diperoleh 60.93 peratus sebenarnya masih dianggap sederhana, belum cukup baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Hari Kesukarelaan Belia Malaysia 2020 secara maya oleh menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Terdahulu beliau menyerahkan kit pencegahan Covid-19 dan melepaskan konvoi 14 buah kenderaan meliputi tujuh agensi untuk mengedarkan peralatan itu di sekitar Lembah Klang.

Turut hadir pada sambutan tahun kali kedua dan dibuat serentak di seluruh negara hari ini ialah Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Dr. Wasitah Mohd. Yusof.

Pada acara itu, beliau turut mengumumkan secara maya pemenang Anugerah Sukarelawan Lelaki diraih oleh Teo Ann Siang manakala kategori wanita disandang Siti Shazleen Shazali.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, kajian kesedaran mengenai kesukarelaan di Malaysia oleh IYRES menunjukkan program dianjurkan pelbagai badan adalah memuaskan.

“Ia skor 60 peratus tetapi boleh ditambah baik lagi kerana kajian World Giving Index pada 2019 mendapati Malaysia berada pada tangga ke-30 daripada sejumlah 125 negara,” jelasnya.

Justeru beliau berharap semangat kesukarelaan dalam kalangan rakyat perlu dipupuk sejak awal usia dengan dedah kepada amalan kerja kebajikan tanpa harap ganjaran kewangan.

Wan Ahmad Fahysal memberi contoh pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew gigih melakukan kerja amal dan berharap golongan belia mengambil teladan daripada usaha murni berkenaan.

“Aktiviti kesukarelaan ini sejajar Agenda Pemerkasaan Belia dan pihak kementerian sedia bekerjasama dengan badan bukan kerajaan bagi perbanyakkan program sebegini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya