Sultan Perak terima peletakan jawatan Ahmad Faizal - Utusan Malaysia

Sultan Perak terima peletakan jawatan Ahmad Faizal

AHMAD Faizal Azumu selepas menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di Ipoh. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar yang dipersembahkan kepada baginda semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Sultan Perak, Datuk Abdul Rahim Mohd. Nor berkata, Sultan Nazrin turut menzahirkan titah terima kasih kepada Ahmad Faizal yang telah menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sejak 12 Mei 2018.

“Baginda turut menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan atas perkhidmatan yang telah diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Sultan Nazrin telah menerima menghadap Ahmad Faizal yang merupakan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Chenderiang pada pukul 3 petang semalam di Istana Kinta susulan kehilangan sokongan majoriti dalam usul undi percaya semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Beliau berkata, Ahmad Faizal menyembahkan watikah memaklumkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak terjejas secara langsung berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII, dan perenggan (a) Fasal (2) perkara XVI (6), Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Dengan itu beliau mempersembahkan hasrat meletak jawatan sebagai Menteri Besar bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

“Permohonan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang dipersembahkan melalui warkah bertarikh 19 Rabiulakhir 1442 (5 Disember 2020), mendapat perkenan Baginda,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya