SKTBI rangkul gelaran Sekolah Impak Terbesar Microsoft Showcase Schools - Utusan Malaysia

SKTBI rangkul gelaran Sekolah Impak Terbesar Microsoft Showcase Schools

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Indah (SKTBI), Iskandar Puteri memenangi gelaran Sekolah Impak Terbesar Tahun 2019-2020 bagi Sekolah Bestari Microsoft (Microsoft Showcase Schools).

Daripada 325 buah sekolah melibatkan 58 negara yang terlibat dalam Program Sekolah Bestari Microsoft, SKTBI adalah salah satu daripada tiga sekolah di peringkat global dan satu-satunya di Asia menerima anugerah tersebut.

SKTBI juga merupakan sekolah pertama di Malaysia memperoleh akreditasi pakar Pendidik Inovatif Microsoft (MIE) untuk semua gurunya.

Guru Besar SKTBI, Rasman Abdul Karim berkata, guru di sekolah itu memainkan peranan aktif mengguna pakai teknologi dalam pembelajaran sebelum pandemik Covid-19 menyerang negara.

Beliau berkata, persediaan awal membolehkan pihaknya beralih kepada pembelajaran jarak jauh lebih pantas daripada biasa selain memberikan masa secukupnya untuk mempersiapkan guru serta ibu bapa pelajar dalam memainkan peranan penting melancarkan pelaksanaan pendidikan digital.

Katanya, anugerah itu mengiktiraf usaha sekolah mendigitalkan pendidikan dan kesan luar biasanya terhadap masyarakat sekitar.

“Kami amat berbangga untuk menerima anugerah ini daripada Microsoft. Kami berharap proses transformasi ini menjadi pendorong kepada sekolah lain untuk memanfaatkan teknologi dalam menambah baik sistem pendidikan menuju ke arah masa depan digital.

“Transformasi ini membolehkan kami membantu guru dan sekolah lain dalam menguruskan peralihan dengan lebih baik kepada kaedah pembelajaran jarak jauh semasa krisis Covid-19 yang sedang melanda.

“Kepakaran guru dan murid memanfaatkan teknologi dalam pendidikan juga membolehkan aktiviti kokurikulum diteruskan walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Rasman berkata, sebelum pandemik, SKTBI telah menganjurkan sesi digital selepas sekolah pada hujung minggu yang dirangka khas bagi ibu bapa agar mendapatkan pendedahan kepada platform yang digunakan.

Katanya, ini bertujuan meningkatkan kemahiran yang perlu dimiliki dalam kalangan ibu bapa bagi menambah baik pengalaman pembelajaran digital anak masing-masing di usia muda.

“Apabila PKP dilaksanakan, SKTBI telah bergabung tenaga dengan Digital Classroom untuk menjalankan sesi latihan jarak jauh serta melengkapkan guru sekolah lain dengan kemahiran untuk memanfaatkan teknologi dalam pembelajaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya