Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa tumpas

AYOB Khan (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu dirampas polis hasil empat serbuan di Johor Bahru dan Muar dalam sidang akhbar di IPK Johor. UTUSAN/BAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa tumpas ekoran kejayaan polis Johor menahan empat lelaki dalam serbuan berasingan sekitar Muar dan Johor Bahru di Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua suspek diberkas itu melibatkan warga tempatan berusia antara 30 hingga 41 tahun yang bukan sahaja bertindak sebagai penjaga bekalan dadah malah penghantar atau runner.

Menurutnya, dalam operasi khas bermula pukul 6.30 petang itu turut berjaya merampas 23.93 kilogram (KG) dadah jenis syabu bernilai RM1.07 juta serta tiga liter air ketum dan 480 gram daun ketum.

“Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor serta IPD Muar melakukan operasi khas dan berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

“Empat suspek bertindak sebagai penghantar iaitu runner dan juga penjaga bekalan dadah sebelum diseludup keluar ke negara jiran Indonesia melalui jalan laut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, siasatan polis mendapati sindiket ini menyorokkan dadah di dalam tempat penyimpanan barang sebuah trak tunda dan bonet kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V.

Jelasnya, sindiket yang aktif sejak sebulan lalu itu menggunakan modus operandi terbabit bagi mengaburi daripada dikesan mata pihak berkuasa sebelum menggunakan bot untuk dibawa keluar ke negara jiran.

Beliau berkata, dadah terbabit dipercayai dapat diedarkan kepada lebih 239,250 penagih dadah di Indonesia.

“Dalam serbuan ini polis turur merampas sebuah lori tunda jenis Isuzu dan Honda CR-V serta peralatan memperoses ketum. 

“Kesemua mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Januari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya