Saman Azmin: Tun M tawar jadi saksi - Utusan Malaysia

Saman Azmin: Tun M tawar jadi saksi

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya sedia menawarkan diri sebagai saksi di mahkamah sekiranya keterangan saya diperlukan.”

Itu tawaran terbuka bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada 10 pengundi Parlimen Gombak yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dr. Mahathir berkata, berdasarkan kandungan pernyataan tuntutan yang difailkan oleh kesemua plaintif, beliau dinasihatkan oleh peguam bahawa tindakan ini diambil kerana Mohamed Azmin didakwa memungkiri sumpah setia selaku ahli parlimen.

Katanya, bekas Timbalan Presiden PKR itu juga mengabaikan amanah pengundi-pengundi kawasan Gombak untuk kepentingan diri dan tidak menghiraukan janji yang dibuatnya semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan melakukan kesalahan tort penipuan (committed tort of deceit).

“Saya dapati pernyataan tuntutan mengandungi antara lain langkah Sheraton dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memecah belah gabungan Pakatan Harapan (PH), kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat.

“Terdapat juga pernyataan bahawa saya tidak menghadiri pertemuan di Hotel Sheraton pada 23.2.2020. Juga dinyatakan saya telah meletak jawatan pada 24.02.2020. Ini adalah seperti selalu saya tekankan bahawa perpecahan gabungan PH adalah akibat dari langkah Sheraton,” katanya dalam satu kenyataan semalam (Rabu).

Kelmarin, seramai 10 pengundi dari Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar tanggung jawab sebagai ahli parlimen kawasan berkenaan sehingga menye­babkan kerajaan PH tumbang melalui langkah Sheraton.

Plaintif yang berusia antara 36 hingga 64 tahun memfailkan saman itu pada 27 November lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menambah, terdapat juga pernyataan bahawa Mohamed Azmin kini bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasion (BN) termasuk mereka yang telah, dan, atau masih menghadapi tuduhan-tuduhan jenayah.

“Kesemua perkara yang didakwa melalui tindakan yang difailkan ini telah pun saya nyatakan berulang kali.

“Wakil rakyat atau ahli parlimen harus faham bahawa rakyat memilih kita sebagai wakil mereka untuk bersuara di parlimen dan memimpin mereka, bukannya untuk kepentingan diri dan mendapatkan jawatan serta kuasa,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Langkawi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya