Saarani mahu mulakan tugas tanpa lukakan hati sesiapa - Utusan Malaysia

Saarani mahu mulakan tugas tanpa lukakan hati sesiapa

SAARANI Mohammad (tiga dari kanan) pada Majlis Kesyukuran Menteri Besar Perak dan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli di Lenggong, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Datuk Saarani Mohamad mahu memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak dengan memberi tumpuan kepada soal pentadbiran, bukannya perkara lain termasuk menyiasat dakwaan penyelewengan dalam kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, beliau mahu memulakan tugas tanpa melukakan hati mana-mana pihak.

“Perkara itu (siasatan penyelewengan) lebih baik diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab kerana saya mahu memberi tumpuan kepada pentadbiran negeri.

“Tumpuan saya adalah untuk mentadbir negeri Perak dan menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis kesyukuran Menteri Besar Perak dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Komuniti Kemas Lenggong di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Saarani berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Sementara itu, Saarani menafikan dakwaan DAP bahawa UMNO Perak ada menawarkan jawatan kepada parti yang sedia bergabung dengan parti itu sekiranya bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri.

Menurutnya, pendirian UMNO pada masa itu ialah membuka pintu perbincangan dengan semua parti-parti politik untuk bekerjasama.

Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, ini kerana matlamat pada masa itu ialah untuk segera membentuk kerajaan dengan gabungan parti-parti yang kuat.

“Macam mana kita nak tawarkan jawatan pada DAP sedangkan mereka pun tidak menyertai kerajaan negeri?

“Tiada apa-apa janji untuk jawatan kepada siapa-siapa. Yang penting ialah kita nak tubuhkan kerajaan jadi semua pihak boleh bertemu,” katanya.

Semalam, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendakwa UMNO menawarkan jawatan Exco kepada Amanah dan PKR sekiranya dua parti tersebut sedia membentuk kerajaan bersama.

Dakwa Kor Ming, tawaran itu dibuat bagi membentuk kerajaan bersama selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak memberikan sebarang kata putus.

Menurut Saarani, UMNO tidak boleh membentuk kerajaan secara bersendirian dan perlu mendapatkan kerjasama dengan mana-mana parti yang boleh bekerjasama.

“Pada mulanya Pas dan Bersatu tidak memberikan sebarang persetujuan bagi menyokong kerajaan baharu selepas peletakan jawatan Menteri Besar sebelumnya.

“Bagaimanapun kita akhirnya kembali kepada Pas dan Bersatu selepas gagal mencapai sebarang persefahaman dengan Pakatan Harapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya