Rina nafi tambah 8,000 kakitangan kontrak - Utusan Malaysia

Rina nafi tambah 8,000 kakitangan kontrak

RINA Harun (tengah) bersama Timbalan Pengarah Urusan Pharmaniaga, Mohamed Iqbal Abdul Rahma (tiga dari kiri) dan Pengurus Besar Ronalds McDonald House Charities Malaysia, Nasri Nordin (empat dari kanan) selepas menerima replika cek sumbangan kepada Yayasan Kebajikan Negara Malaysia di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menafikan konon mahu menambah 8,000 kakitangan kontrak sebagai mesin politiknya.

Sambil menyangkal keras dakwaan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh baru-baru ini, beliau malah menegaskan, angka itu diminta sendiri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jumlah 8,000 petugas ini disuarakan dalam mesyuarat JKM, bukan saya yang minta, mereka ada jawatankuasa teknikal, selain perlu melalui proses tertentu dijalankan amat teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum hadiri majlis penyampaian sumbangan kepada ahli-ahli Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia di kementeriannya di sini hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara menerima sumbangan zakat korporat Pharmaniaga untuk Ronald McDonald House Charities.

Pada 16 Disember lalu, Yeoh yang juga bekas timbalan menteri di kementerian itu menerusi kenyataan mendakwa kononnya Rina ada rancangan bagi tambah 8,000 staf kontrak JKM.

Tokoh DAP Selangor ini bahkan mendakwa pelan penstrukturan semula JKM diumumkan Rina sebelum itu tidak pun mencerminkan keperluan sebenar agensi tersebut di lapangan.

Mengulas lanjut, Rina sebaliknya menjelaskan bahawa beliau langsung tidak terlibat dalam menentukan bilangan keperluan perjawatan yang perlu diisi setiap jabatan di kementeriannya.  

“Tak perlulah dipolitikkan isu ini, buat dosa baru, rakyat kita di luar sana banyak tengah susah dan amat perlu khidmat staf JKM yang terpaksa kerja dengan kekangan petugas,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa proses pertambahan kakitangan untuk tahun depan perlu dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Malah ujarnya, jumlah yang diperlukan itu masih bergantung kepada kelulusan kementerian tersebut sebelum dilakukan proses pengiklanan secara terbuka untuk pengambilan baharu.

“Ini tidak termasuk sejumlah 1,122 pegawai perlindungan kanak-kanak dan pemulihan akhlak di JKM yang turut kita ambil bagi bantu petugas kontrak ‘turun padang’ ke lapangan,” katanya.

Justeru, beliau menafikan tohmahan Yeoh konon kementerian itu tidak berusaha menambah staf dalam dua bidang berkenaan malah ia sebenarnya sudah lama dilaksanakan tanpa henti.

Dalam nada sinis, Rina menyindir Yeoh kerana cuba mensensasikan isu tersebut dengan kait pula kononnya 8,000 kakitangan baharu itu bakal dijadikan sebagai jentera politik kepartian.

“Saya minta tolong, usahlah buat begini dengan cuit sikit sentimen rakyat, saya malas hendak cakap cerita lama dia di sini dan jangan pula sampai saya ungkit balik kisah dulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.