Rasuah: Guan Eng dibicara 8 Jun tahun depan - Utusan Malaysia

Rasuah: Guan Eng dibicara 8 Jun tahun depan

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan 8 Jun tahun depan bagi mendengar perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Hakim Azura Alwi membenarkan keempat-empat kes iaitu tiga tuduhan yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Butterworth dan satu kes yang didaftarkan di sini, dibicarakan secara bersama.

Mahkamah turut menetapkan 29 Mac tahun depan untuk sebutan kes bagi memuktamadkan penyerahan dokumen pihak pendakwaan yang kini 95 peratus selesai manakala selebihnya menunggu laporan pakar.

Azura membenarkan permohonan Guan Eng agar dikecualikan daripada menghadiri prosiding sebutan. Mahkamah turut mencadangkan pihak pendakwaan mengemaskini senarai saksi yang akan dikemukakan pada perbicaraan kelak.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin memaklumkan pihak pendakwaan memohon agar tiga tuduhan yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Butterworth, dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk perbicaraan bersama.

Menurut Wan Shaharudin, pihak pendakwaan telah menyerahkan lapan jilid dokumen bagi kesemua kes kepada pihak pembelaan dan akan mengemukakan 80 hingga 90 saksi pada perbicaraan kelak.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mengetuai pasukan pembelaan berkata, pihaknya memerlukan masa untuk mengkaji dokumen yang baru diterima selain turut mencadangkan agar saksi-saksi rasmi memberi keterangan secara bertulis.

Guan Eng, 60, didakwa terhadap tuduhan pindaan menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini mengikut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap Lim dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN