Rampasan daging seludup bakal dihantar ke zoo - Utusan Malaysia

Rampasan daging seludup bakal dihantar ke zoo

KHALIK DRAHMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Daging sejuk beku seludup masuk di samping menggunakan logo halal palsu yang dirampas pihak berkuasa di sebuah gudang di sini baru-baru ini akan dihantar ke zoo-zoo negara ini untuk dijadikan makanan haiwan.

Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kanan (Bahagian Penguatkuasaan) negeri, Khalik Drahman memberitahu, ia merupakan antara satu langkah untuk melupuskan daging rampasan tersebut selain ditanam.

Katanya, bagaimanapun status kesihatan daging berkenaan perlu diperiksa terlebih dahulu sebelum dihantar ke zoo-zoo.

“Daging-daging disita ini akan dihantar ke Jabatan Kimia dalam masa terdekat untuk ditentukan jenis dagingnya, sebelum tindakan lanjut boleh diambil.

“Setelah siasatan selesai, ia akan dilupuskan mengikut kaedah yang ditentukan, ini termasuklah mengagihkannya ke zoo untuk dijadikan makanan haiwan sekiranya kualiti kesihatannya terbukti ataupun ditanam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi mengadakan tinjauan gudang itu terletak di Taman Perindustrian Senai yang didakwa menyimpan daging itu selepas diseludup ke negara ini dan dibungkus semula dengan logo halal palsu.

Pada Rabu lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengetuai serbuan melibatkan sebuah syarikat yang menyeludup daging sejuk beku itu ke negara ini.

Difahamkan, daging tersebut kemudian akan digunakan untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Sementara itu, Khalik memberitahu, pihaknya hari ini telah menahan seorang pengarah syarikat berkaitan yang merupakan seorang warga tempatan dan berusia 40-an susulan serbuan itu.

Jelasnya, suspek ditahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan dokumen diperlukan ketika diperiksa.

“Pada hari ini juga, Kastam telah menyita tiga buah lori yang mengandungi produk daging sejuk beku yang tidak memiliki logo halal.

“Manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah menyita produk daging sejuk beku yang menggunakan tanda logo halal,” ujarnya.

Tambah Khalik lagi, mereka juga tidak menafikan kemungkinan terdapat pihak lain yang melakukan kegiatan serupa kerana pasaran daging halal adalah besar termasuklah di negara ini.

“Tindakan kartel ini memalsukan logo Halal Australia adalah kerana logo halal negara berkenaan diyakini masyarakat Islam. Secara tidak langsung mereka boleh menjualnya dengan harga yang lebih tinggi,” tambah beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya