Rakyat Malaysia semakin ‘berbunga-bunga’! - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia semakin ‘berbunga-bunga’!

Permintaan bunga di seluruh negara menunjukkan trend peningkatan sejak beberapa tahun namun dijangka merosot tahun ini susulan impak wabak Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Di sebalik ramai pekebun bunga bimbang kerugian besar akibat impak wabak Covid-19 di seluruh dunia, namun minat rakyat negara ini terhadap bunga sebenarnya positif.

Ini terbukti berdasarkan laporan Indikator Pertanian Terpilih diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini yang menunjukkan trend melonjak gah untuk bunga tempatan.

Data bersumberkan Jabatan Pertanian itu memaparkan pengeluaran tanaman bunga di seluruh negara bagi lima tahun lepas jelas amat baik berbanding rempah dan herba.

Ia menunjukkan rekod pada 2015, sejumlah 510,290,000 keratan bunga dihasilkan sebelum pengeluarannya jatuh teruk kepada hanya 500,084,000 keratan dicatatkan tahun berikutnya.

Bagaimanapun, ia kembali pulih apabila merekodkan 509,086,000 keratan sepanjang 2017 dan melonjak kepada 518,249,000 keratan pada 2018 dan 528,096,000 keratan pada 2019.

Jumlah pengusaha bunga tempatan ketika ini dianggarkan 886 orang dengan Selangor bilangan tertinggi iaitu 206, diikuti Pahang (213), Johor (197), Perak (56), Kelantan (30) dan Melaka (30).

Sementara Kedah pula 28 pengusaha disusuli Negeri Sembilan (27), Terengganu (25), Sabah (24), Sarawak (19), Pulau Pinang (17), Perlis (11) dan Wilayah Persekutuan Labuan (3).

Namun, jika dilihat keluasan tanah untuk tanaman bunga komersial di seluruh negara ini yang malar merekodkan 2,700 hektar, sebahagian besarnya terletak di Sabah dengan 1,215 hektar.

Ini diikuti Johor dengan keluasan 1,099 hektar manakala negeri-negeri lain pula kurang 200 hektar, antaranya Perak (118), Selangor (80), Sarawak (52), Pahang (30) dan Kedah (22).

Wilayah Persekutuan Labuan pula paling kecil keluasan tanaman bunga iaitu sekitar dua hektar, disusuli Perlis (3), Terengganu (6), Pulau Pinang (10), Melaka (18) dan Kelantan (20).

Berdasarkan unjuran Jabatan Pertanian jumlah pengeluaran bunga negara dijangka meningkat pada 2020 sekitar 6.2 peratus dengan andaian trend permintaan masih kekal stabil.

Nilai eksport produk florikultur pula diunjurkan turut meningkat kepada RM857 juta berbanding hanya RM449 juta yang direkodkan pada 2010 lalu terutama pasaran tradisional sekitar Asia.

Antaranya ialah Singapura, Thailand, Hong Kong, Taiwan, China, Jepun selain Australia, namun jualan dijangka mungkin terjejas teruk ekoran caj pengangkutan naik sebab isu Covid-19.

Hal itu diakui Pengerusi Persatuan Pekebun Bunga Cameron Highlands, Lee Peng So ketika dihubungi Utusan Malaysia yang mendakwa ramai petani menanggung kerugian agak besar.

Hasil pengeluaran dianggarkan mungkin kurang sehingga 45 peratus berbanding tahun lalu, menyebabkan ramai pekebun mula beralih menanam sayur pula bagi menampung kehidupan.

“Eksport ke pasaran luar negara pula merosot hampir 70 peratus kerana kurang permintaan dan banyak penerbangan enggan terima atau sengaja mengenakan caj mahal,” katanya kesal.

Cameron Highlands terkenal dalam penghasilan bunga hidup berkualiti tinggi kerana kawasan peranginan ini disinari matahari sepanjang tahun dan tidak terkesan isu perubahan musim.

Dengan suhu sedingin antara 14 hingga 22 darjah Celsius, 150 ladang di sini mengeluarkan hampir 100 tan bunga setiap hari yang mencecah nilai RM1 juta dan kebanyakannya dieksport.- UTUSAN ONLINE

TAMAT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya