KUALA LUMPUR: Usia seseorang pemimpin, sama ada muda atau tua bukanlah faktor yang bakal menentukan pola pengundian pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Apa yang pasti, orang muda lebih melihat kepada dasar yang akan menguntungkan mereka berbanding susuk tubuh seorang pemimpin.
Perkara itu telah dibuktikan pada PRU-14, yang mana calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berusia lebih 90 tahun masih mampu menarik sokongan kelompok berkenaan.
Geostrategis, Azmi Hassan berpendapat, trend pengundi muda kali ini akan lebih terarah kepada calon Perdana Menteri yang mampu mewujudkan kestabilan politik apabila menubuhkan kerajaan kelak.
Katanya, bacaan politik di Malaysia belum memaparkan kemungkinan kuasa pentadbiran akan diamanahkan kepada muka baharu.
“Saya jangkakan faktor penarik pengundi ialah calon yang mampu tubuh kerajaan stabil. Tan Sri Muhyiddin Yassin ada stigmanya dengan keadaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terumbang-ambing akan membuat pengundi berfikir banyak kali sebagai calon Perdana Menteri.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim pula masih gagal buktikan sokongan dimiliki yang membuatkan PH sendiri berasa was-was manakala Datuk Seri Mohamad Hassan pula sentiasa dibayangi pengaruh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Jika PRU-15 diadakan hari ini, saingannya ialah antara Muhyiddin dan Anwar kerana Muhyiddin mempunyai landasan PN untuk kukuhkan kedudukan manakala Anwar pula masih boleh mengharap PH, kerana PH tidak mempunyai calon Perdana Menteri alternatif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PRU-15 bakal menjadi gelanggang yang menarik dengan jumlah pengundi mencecah sehingga 21 juta orang.
Sebelum ini, Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.
Mengulas mengenai masa depan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Azmi berkata, Muda tidak mempunyai pemimpin yang boleh diketengahkan sebagai susuk berwibawa dalam keadaan mencabar.
“Muda hanya dengan Syed Saddiq sahaja tidak cukup untuk yakinkan rakyat umum. Muda memerlukan ahli politik yang lebih berpengalaman sebelum diterima secara menyeluruh,” jelasnya. – UTUSAN










