Program pemutihan MyKad sahaja tidak cukup - Utusan Malaysia

Program pemutihan MyKad sahaja tidak cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program pemutihan MyKad sahaja tidak cukup untuk membanteras lambakan pekerja asing, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sindiket pemalsuan kad pengenalan di negara ini.

Bekas timbalan menteri yang enggan namanya didedahkan berkata, perkara itu tidak dapat diselesaikan selagi permintaan pekerja asing tinggi dan majikan enggan bertanggungjawab ke atas para pekerjanya.

Katanya, jika itu tidak diselesaikan, isu seperti sindiket pemerdagangan manusia, pemalsuan MyKad dan salah laku penguat kuasa akan terus berlaku pada masa akan datang.

“Di bawah pentadbiran saya, kerajaan ketika itu mahu memastikan bilangan pekerja asing dalam keadaan terkawal dan mahu majikan bertanggungjawab terhadap segala perbelanjaan dan dokumen pekerjanya. Dari mula tiba di Malaysia sehingga pulang ke negara asal.

“Kita juga mahu bangunkan sistem yang boleh memantau keberadaan setiap pekerja asing ini tetapi rata-rata majikan tidak bersetuju. Mereka hanya mahu permit pekerjaan namun enggan bertanggungjawab dan biarkan pekerjanya bebas hidup di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut bekas timbalan menteri itu, pihaknya sudah menjalankan pelbagai program dan inisiatif untuk menangani lambakan warga asing, namun masalah itu tetap berleluasa sehingga ke hari ini.

“Pernah satu ketika kira-kira 200 anggota penguat kuasa yang bertugas di lapangan terbang dibuang dan ditukarkan, tetapi tidak lama kemudian anggota baharu pula terlibat. Sudah tukar menteri, tukar kerajaan pun perkara ini tetap berlaku. Adakah ini masih salah menteri dan ahli politik?

“Perkara ini hanya boleh diselesaikan jika kita ketatkan syarat kepada majikan yang mahu ambil pekerja-pekerja asing. Jika ini dilakukan pasti permintaan terhadap pekerja asing menurun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×