ARAU : Perikatan Nasional (PN) akan menghadapi masalah besar termasuk berdepan kemungkinan kerajaan tumbang jika UMNO mengambil keputusan menarik balik sokongan kepada gabungan berkenaan.
PN khususnya membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sangat mengharap sokongan daripada ahli Parlimen UMNO bagi mengekalkan kerajaan sedia ada.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar
berkata, PN memerlukan antara satu sama lain khususnya sokongan daripada UMNO yang mempunyai kerusi paling dominan.
“Kalau UMNO tak bersama Bersatu dan Pas dalam PN sudah tentu boleh menjejaskan kerajaan PN kerana mereka sangat-sangat bergantung kepada ahli Parlimen UMNO. Malah, kerajaan juga boleh tumbang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, terdapat desas-desus akar umbi UMNO akan membawa usul meminta pucuk kepemimpinan parti itu menarik semula sokongan terhadap kerajaan PN dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri yang berlangsung tiga hari bermula 1 Januari ini.
Malah, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan sendiri tidak menolak kemungkinan tersebut dan memberi jaminan setiap usul dibawa akar umbi nanti diberi perhatian sewajarnya.
Sementara itu, Rusdi berkata, UMNO juga tidak ada pilihan lain kerana mereka juga memerlukan kerjasama dengan parti-parti politik lain jika mahu menang pilihan raya.
“Kekuatan UMNO sudah tidak sama seperti dahulu yang membolehkan mereka bergerak sendirian dan mampu memenangi pilihan raya. UMNO memerlukan kerjasama dengan parti-parti politik lain dan bersama PN dilihat sebagai langkah terbaik ketika ini,” katanya. – UTUSAN










