PKPD dua kawasan di Kota Kinabalu dan Ipoh ditamatkan - Utusan Malaysia

PKPD dua kawasan di Kota Kinabalu dan Ipoh ditamatkan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan Kota Kinabalu, Sabah iaitu Kampung Numbak dan penempatan Telipok ditamatkan selain dua lagi tempat di Ipoh Perak iaitu di Zon A Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan kedua-dua  lokaliti di Kota Kinabalu itu menunjukkan trend penurunan kes aktif Covid-19 dan terkawal.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan melaksanakan 6,776 ujian saringan di kedua-dua  lokaliti itu dan sebanyak 175 kes kumulatif Covid-19 direkodkan di Kg. Numbak dan  224 kes di Penempatan Telipok. 

Di Ipoh pula katanya, bagi Zon A Taman Klebang Jaya, sebanyak 2,679 ujian saringan dilaksanakan dan merekodkan sebanyak 37 kes kumulatif positif Covid-19.  

Bagaimanapun, kata beliau, PKPD di Asrama Pekerja Kilang Yamaha di kawasan itu akan diteruskan selama tujuh hari lagi bermula 15 sehingga  21 Disember ini kerana masih terdapat kes aktif melibatkan pekerja warga asing.

“Namun, kesemua penduduk di Taman Pinji Mewah telah disaring sepenuhnya dan sebanyak lapan kes positif direkodkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) di seluruh Daerah Kinta, Perak turut ditamatkan esok kecuali di kawasan Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta yang akan disambung sehingga 20 Disember ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata, tangkapan melibatkan kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semakin meningkat apabila seramai 655 individu ditahan semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 587 individu dikompaun manakala 67 lagi direman dan seorang dijamin. 

“Antara kesalahan itu ialah aktiviti pusat hiburan (292), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (179), tidak  memakai pelitup muka (99), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan  (75) lain-lain (10),” katanya. 

Mengenai Operasi Benteng pula, beliau berkata, seramai 104 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap, selain dua tekong serta merampas enam kenderaan darat dan sebuah bot. 

Katanya, berhubung kuarantin wajib, seramai 89,487 individu pulang ke tanah  air sejak 24 Julai lalu melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 79 hotel dan 20 premis lain. 

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 14,804 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 544 individu dihantar ke hospital untuk rawatan selain 74,139 individu dibenarkan pulang.  

“Sebanyak 13,908 jumlah pemeriksaan dilakukan anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sejak 20 April lalu melibatkan 7,965 tapak binaan di seluruh negara.  

“Semalam, anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan di tujuh tapak binaan di  seluruh negara dan kesemua tapak binaan yang diperiksa mematuhi SOP ditetapkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.