Perniagaan warisan di Georgetown kembali 'hidup' - Utusan Malaysia

Perniagaan warisan di Georgetown kembali ‘hidup’

PERNIAGAAN Ais Tingkap Penang di Lebuh Tamil, Georgetown, Pulau Pinang mula menerima kunjungan ramai pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Operasi perniagaan warisan di pusat bandar ini kembali mendapat sambutan pelancong tempatan yang mula mengunjungi premis-premis makanan dan minuman signatur Pulau Mutiara itu sejak dua minggu lalu.

Perniagaan warisan yang diusahakan secara turun-temurun itu terdiri daripada premis menjual jeruk di Pasar Chowrasta di Jalan Penang, kedai ais sarbat di Lebuh Tamil dan beberapa premis nasi kandar popular di sekitar bandar ini.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, premis perniagaan yang sebelum ini terpaksa memotong gaji dan mengurangkan jumlah pekerja akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mula menerima kehadiran ramai pelanggan.

Pengusaha gerai Ais Tingkap Penang, Mohamed Almy Seeni Mohamed, 33, berkata, perniagaan warisan ais sarbat sejak 101 tahun itu mendapat sambutan luar biasa sejak 14 Disember lalu.

Menurut anak bongsu daripada tujuh beradik itu, hasil keuntungan yang diperoleh kini dikatakan mampu menampung pendapatan yang terjejas teruk sehingga 80 peratus sejak Mac lalu.

“Kini kami berasa lega apabila memperoleh semula pendapatan sehingga 70 peratus sejak orang ramai dibenarkan merentasi negeri dua minggu lalu.

“Berbanding November lalu, mahu dapat enam pelanggan pun susah. Gerai ini dibuka mulai pukul 11 pagi dan tutup pukul 7 malam.

“Tapi kini kami tidak menang tangan apabila hampir 100 pelanggan datang setiap dua jam dan beratur panjang kira-kira tiga meter dari laluan masuk Lebuh Tamil,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohamed Almy memberitahu, berikutan sambutan memberangsangkan seperti sebelum PKP lalu, gerai ais sarbat dengan campuran 25 rempah ratus asli dari India itu kini terpaksa beroperasi sepenuh masa.

Sementara itu, seorang peniaga jeruk di Pasar Chowrasta, Ong Gim Chuan, 40, pula memberitahu, perniagaan warisan sejak lebih tiga dekad lalu itu juga mula menerima kunjungan ramai pelanggan berbanding Ogos hingga November lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan kes baharu positif Covid-19 di negara ini masih meningkat.

“Saya kini hanya mengambil stok bagi setiap 10 jenis jeruk kira-kira dua hingga lima kilogram sahaja dari kilang di Balik Pulau berbanding sebelum PKP sebanyak 10 kilogram setiap jenis.

“Saya bimbang sekiranya pelaksanaan semula PKPP atau PKPB, jeruk-jeruk ini terpaksa dibuang begitu sahaja seperti sebelum ini kerana sudah rosak. Saya berdepan kerugian mencecah ribuan ringgit pada PKP lalu,” jelasnya yang mula memperoleh keuntungan sehingga 60 peratus berbanding 20 peratus sejak Ogos lalu.

Dalam pada itu, premis Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang juga dilihat mula menerima ramai pelanggan sejak dua minggu lalu.

Keadaan ini berlalu selepas kerajaan membenarkan pergerakan merentas negeri 7 Disember lalu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN