Perikatan Nasional kekal di Perak - Utusan Malaysia

Perikatan Nasional kekal di Perak

AHMAD Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Na­sional (PN) dijangka kekal sebagai kerajaan di Perak apabila Pas dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia berkompromi dengan UMNO.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dikatakan memberi jaminan Bersatu Perak di bawah pimpinannya sentiasa bersedia meneruskan kerjasama dengan UMNO dalam mengekalkan kerajaan PN di Perak.

Sementara itu Pas yang sebelum dilihat tidak berpuas hati dengan tindakan UMNO menyatakan kesediaan me­mainkan peranan sebagai pen­damai.

Ini termasuk menjernih­kan semula hubungan antara parti-parti sekutu dalam PN se­lepas berlakunya kemelut pentadbiran kerajaan negeri itu susulan undi usul percaya terhadap Menteri Besar Perak baru-baru ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanu­si Md. Nor berkata, usaha me­ngekalkan PN di Perak adalah antara isu dibawanya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pas Pusat petang semalam.

“Pas kerjanya untuk men­­damaikan dan bukan mencucuh api permusuhan. Kerja kita hendak mendamaikan dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas melibatkan 12 Ahli Majlis Tertinggi Kepimpinan Pas Pusat petang ini (semalam).

“Saya sendiri akan memberi pandangan untuk menjernih­kan semula keadaan antara semua parti terlibat,” katanya di Alor Setar semalam.

Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria juga berkata, kerjasama politik dalam PN seperti sebelum ini perlu dikekalkan.

Menurutnya, ini bagi meneruskan kesinambungan pentadbiran antara negeri dan Pusat.

“Kita perlu pastikan ada solidariti dan kebersamaan dan pada masa sama kita per­lu memperbaiki mana-mana ke­kurangan selain perkukuh­kan semula kekuatan politik negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Mohd. Nizar, kerajaan perlu terus berkhidmat dan membantu rakyat dan sudah tentu tidak mahu apa yang sudah dilaksanakan dan dirancang untuk memanfaatkan rak­yat tergendala.

“Paling penting, biarlah selepas ini segala keputusan yang dibuat melalui musyawarah dapat bersama-sama memba­ngun­kan negeri dan negara un­tuk kesejahteraan rakyat,” ka­tanya.

Sementara itu, Pensyarah Pu­sat Pengajian Sains Kema­syarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, kerajaan PN wajar dikekalkan supaya tidak mengeruhkan kemelut politik di Perak dan UMNO harus sentiasa kekal dengan pendirian menolak kerjasama dengan DAP seperti ditegaskan sebelum ini.

Beliau berkata, UMNO harus bijak menangani masalah ke­pemimpinan dengan hanya memberi tumpuan pada keadaan semasa dan mengabaikan faktor lain demi kuasa.

“Adakah UMNO dan PH bersedia untuk bekerjasama tanpa syarat sedangkan kita tahu sebelum ini UMNO menolak keras kerjasama itu. Apabila ketua pembangkang, Datuk Se­ri Anwar Ibrahim membuat kenyataan bahawa kerajaan PN tumbang, masa itu timbul desas-desus mengatakan UMNO berhasrat menjalinkan kerja­sama dengan pembangkang na­mun kenyataan yang dikeluarkan UMNO iaitu ‘No Anwar, No DAP’, menunjukkan mereka menolak Anwar dan DAP.

“Pada pandangan saya, ahli politik UMNO wajar memper­halusi isu ini dengan berhati-hati tanpa menyanggahi apa yang dikatakan sebelum ini se­mata-mata untuk berkuasa di Pe­rak. UMNO harus memikirkan pendekatan jangka panjang dan bukan jangka pendek. Kerjasama itu mungkin boleh diperhalusi kemudian tetapi dengan situasi sekarang, tahap pe­nerimaan akar umbi belum begitu memberansangkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin memberi amaran bahawa Pas sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana parti yang menjalin kerjasama dengan DAP termasuk dalam soal pembentukan kerajaan negeri baharu di Perak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijadual menghadap Sultan Pe­rak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini hari ini berhubung kemelut politik tersebut.

Difahamkan, sembah menghadap Pengerusi Barisan Na­sional (BN) akan berlangsung pukul 10 pagi iaitu kali kedua selepas beberapa hari lalu.

Ketika ditemui wartawan kel­marin, Ahmad Zahid memaklumkan beliau akan mempersembahkan nama calon men­teri besar daripada UMNO kepada Sultan Perak.

Kerajaan Negeri Perak terbu­bar selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan susulan gagal me­raih sokongan majoriti daripada ahli dewan pada Sidang DUN Jumaat lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya